Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang berikutan kenyataannya bahawa pemberian wang tunai oleh parti itu ketika PRU15 adalah sedekah.
Bercakap dengan pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina MCA, Zahid menyifatkan kenyataan itu sebagai hipokrit.
"Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah," katanya.
Presiden Umno itu juga menggambarkan Hadi sebagai seorang "ulama politik" dan menggesanya agar tidak mengubah hukum sesuatu perkara.
"Ulama ini janganlah tukar-tukar hukum.
Akhirnya ulama politik tak akan dihormati oleh rakyat dan orang Islam. Ulama kena ada integriti, jangan tukar-tukar fatwa," katanya lagi.
Semalam, Hadi dilaporkan mempertahankan pemberian wang tunai yang dibuat dengan mendakwanya sebagai sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.
"Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi, orang awam nak bagi sedekah terpulang kepada dia,” katanya seperti dipetik The Malaysian Insight.
Pada 3 Jan lepas, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman.
Petisyen itu mendakwa PAS merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student antara 15 dan 17 Nov 2022, yang hanya beberapa hari sebelum PRU15.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan kenyataan Hadi sebagai bukti memang berlaku pemberian wang semasa PRU15.
Malah, katanya lagi, PAS cuba "menghalalkan" apa yang dilakukan walaupun ia melanggar peraturan pilihan raya.
"Inilah budaya dan sikap PAS sejak dulu. Pihak lain semuanya salah dan sebaliknya tidak salah kalau mereka yang lakukan," katanya di Facebook.