ULASAN | Menurut Ketua Biro Dakwah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohammad Syafiq Ismail, ‘madani’ berasal daripada istilah Arab, ‘Madinah’ yang bermaksud kota atau bandar yang teratur dan bersistem, yang memungkinkan kemajuan dan keamanan berlaku.
Jika hilang kemajuan dan keamanan, ia dinamakan ‘qaryah’ atau ‘quro’. Tempat itu menjadi tempat berkumpul sahaja. Sejelasnya, kestabilan ekonomi dan sekuriti memungkinkan sektor-sektor manusiawi yang lain seperti keilmuan, kebudayaan, kesihatan dan sebagainya dijamin. Konsep madani turut dikupas oleh para ilmuwan agung seperti Al-Farabi, Ibn Khaldun dan Ibn Miskawayh.
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula mencatatkan ‘madani’ sebagai membawa maksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.
Sewaktu menjadi timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim pada 26 September 1995 mula mengemukakan istilah ‘masyarakat madani’ ketika menyampaikan pidato sewaktu Simposium Nasional dalam rangka Forum Ilmiah Festival Istiqlal di Jakarta, Indonesia dan menyebutkan “…Yang kita maksudkan dengan masyarakat madani ialah sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan di antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat.”
Konsep ini kemudiannya dikembangkan lagi oleh deretan cendekiawan ulung dalam Konvensyen Masyarakat Madani di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 19-21 September 1996 dan turut dikupas secara mendalam menerusi karya Anwar, The Asian Renaissance.
Antara yang membentangkan kertas kerja dalam program tersebut adalah Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al Attas; Prof Dr Siddiq Fadzil (Almarhum), Prof Dr Osman Bakar, Prof Dr Nik Safiah Nik Karim, Prof Dr Mohammad Kamal Hassan, dan Dr Muhammad Ali Hashim.
Ketokohan anak muda Abim
Sejelasnya, idealisme masyarakat madani yang diperjuangkan Anwar telah mula subur dalam sejak beliau bersama rakan-rakan sekolahnya di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menggerakkan Badan Revolusi Ugama (BRU) dan Kelab MaraMunJangan (Mara Ke Hadapan Mundur Jangan).
Selain mengkaji nilai-nilai indah manusiawi dalam Islam, Anwar dan rakan-rakannya seperti Almarhum Sanusi Junid, Fauzi Abdul Rahman dan Almarhum Yahya Ahmad yang ketika itu masih di bangku sekolah menengah, sudah mula menekankan aspek-aspek dalam gagasan madani.
Selain memberikan tuisyen secara percuma kepada anak-anak kampung sewaktu musim cuti persekolahan, mereka turut gigih menubuhkan tabung kewangan bagi membantu pelajar MCKK dan kawasan sekitar yang kesempitan wang atau tidak mampu membeli tiket untuk pulang ke kampung.
Ia kemudiannya dikembangkan lagi apabila Anwar dan rakan-rakannya memimpin arus kebangkitan mahasiswa dan anak muda menerusi Abim, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).
Ketokohan anak-anak muda Abim yang terkenal dengan gelaran ‘The Angry Generation’ ketika itu seperti Anwar, Dr. Siddiq Fadzil, Fadzil Noor, Ni’amat Yusoff, Dr. Razali Nawawi dan lain-lain memberikan impak besar kepada masyarakat. Daripada mengasaskan Yayasan Anda Akademik (YAA) sehinggalah ditahan dan dipenjarakan selama hampir dua tahun kerana terlibat dalam Demonstrasi Baling 1974, perjuangan Anwar untuk membela nasib golongan miskin dan terpinggir adalah konsisten dan teguh.
Pada 19 Januari 2023, Anawar – kali ini selaku perdana menteri, telah mengumumkan ‘Malaysia Madani’ sebagai kerangka dasar bagi memartabatkan semula negara sebagai negara makmur dan dihormati.
Bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’, konsep yang diperkenalkan oleh Anwar ini terletak pada enam tonggak utama seperti berikut: Ke(M)ampanan; Kesej(A)hteraan; (D)aya cipta; Horm(A)t; Keyaki(N)an; dan (I)hsan. Kata kunci visi ini adalah MADANI, yang pada asasnya merupakan kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat atas dasar ketelusan dan kerjasama. Enam tonggak ini bakal memeta hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.
Ketika menyampaikan amanatnya dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Anwar berkata bahawa tema madani akan kekal relevan dan mampu menyelamatkan negara, kerana menggambarkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan dan rakyatnya berdasarkan pada asas ketelusan dan kerjasama.
Menurut Jabatan Perdana Menteri, amanat Anwar tersebut adalah berpaksikan latar pengalamannya dalam keprihatinan dan perjuangan rakyat bermula daripada gerakan pelajar, aktivis sosial, ahli politik, mengepalai beberapa kementerian dalam kerajaan, menjadi pendidik di beberapa universiti berprestij dunia sehinggalah dilantik sebagai perdana menteri ke-10.
Agenda dasar kerangka madani memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar.
Naratif Malaysia Madani
Konsep madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan sosio-budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.
Idea besar seperti madani ini bukan milik seorang Anwar Ibrahim – ia adalah milik semua dan dinukil serta dikupas oleh ramai ilmuwan. Anwar sendiri tidak pernah mendakwa bahawa beliau adalah pengasas atau pemilik kepada konsep madani tersebut.
Justeru, tidak wujud keperluan untuk berdebat isu pemilikan idea, sebaliknya apa yang penting adalah kita berkongsi manfaatnya untuk masyarakat. Elakkan perdebatan yang tidak perlu, berikan penumpuan kepada perkara yang lebih utama. Kita mesti berganding bahu untuk menyatukan tenaga dan sumber – bagi membangunkan sebuah negara madani.
Daripada sibuk berbahas tentang isu pemilikan idea, lebih molek untuk kita berbincang bagaimana untuk merakyatkan naratif Malaysia Madani agar rakyat terbanyak dapat berperan serta untuk membina semula Malaysia ke arah yang lebih baik.
Hal ini boleh dirancakkan melalui wacana-wacana, forum dan diskusi agar lebih merakyat dan membumi sifatnya. Tidak wujud keperluan untuk mempertikai milik siapa gagasan ini, malah ia mesti dimanfaatkan untuk negara dan rakyat. Apa yang penting ialah ia diangkat ke platform arus perdana dan direalisasikan.
Usaha Anwar dan kerajaan perpaduan ini patut disokong pada setiap peringkat. Penumpuan yang sepatutnya diberikan adalah bagaimana untuk membawa manfaatnya kepada rakyat. Gagasan Malaysia Madani perlu bersifat manusiawi, memandangkan inilah tuntutan yang selari dengan gagasan yang diperjuangkan Islam sendiri – iaitu kemanusiaan.
Malaysia Madani bukanlah satu gagasan kerdil – ia melibatkan kerangka khazanah ilmu dan minda umat, memandangkan ia melibatkan peninggalan ilmuwan dan pemikir besar. Dalam dasar Malaysia Madani, matlamat yang ingin dicapai ialah sebuah masyarakat yang maju, terampil dan terangkum.
Untuk itu, kerangka dasar baharu negara itu hendaklah diterjemah dalam bentuk realiti secara praktikal melalui pelaksanaan dan tekad politik yang sebenar.
Akhirnya, soal madani ini bukan hanya soal istilah atau wacana kosong. Sebaliknya, ia adalah tentang perlaksanaan kata-kata. Keberanian bertindak, adalah tentang melakukan dan melaksanakan – bukan sekadar retorika yang muluk-muluk.
Dan perlaksanaan madani itu perlu menyeluruh dan dirasai oleh masyarakat terbanyak – dari miskin bandar hingga ke ceruk pedalaman. Kerana apa juga warna kulit atau kasut yang kita sarung, selagimana kita adalah manusia yang duduk di sebuah tanah air bernama Malaysia tercinta; maka kita berhak untuk memahami dan merasai kesan dan manfaat madani itu.
Apa pun, rakyat akan terus memerhati dan menilai akan keberkesanannya nanti. Kritiklah mana yang kurang, dan sebarkanlah mana-mana polisi yang bermanfaat. Buat Anwar dan kerajaan perpaduan pimpinan beliau -- mara ke hadapan; mundur jangan.
Malaysia bergerak menjadi Masyarakat Madani. Jalan terus. Memetik puisi “Diponegoro” nukilan Chairil Anwar mengenai seorang patriot bernama Pangeran Diponegoro -- yang melawan para penjajah Belanda berjumlah ratusan orang tanpa rasa takut dan rasa lelah, demi membela Indonesia:
“Di masa pembangunan ini
Tuan hidup kembali
Dan bara kagum menjadi api
Di depan sekali tuan menanti
Tak gentar. Lawan banyaknya seratus kali.
Pedang di kanan, keris di kiri
Berselempang semangat yang tak bisa mati.”
ZAIRUDIN HASHIM merupakan naib presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.