Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan penternak jamin bekalan ayam dan telur mencukupi
Diterbitkan:  Jan 20, 2023 3:43 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia (FLFAM) memberi jaminan bekalan ayam dan telur mencukupi untuk pasaran tempatan mulai sekarang.

Gabungan itu juga menghargai usaha kerajaan menyelesaikan isu kenaikan harga ayam dan telur berikutan bekalan makanan tersebut yang terhad sejak beberapa bulan lalu.

“Industri ternakan ayam menghargai usaha kerajaan dalam mencari penyelesaian kepada kerugian dalam industri berikutan pelbagai cabaran yang dialami di seluruh dunia dan tempatan.

“Sokongan kerajaan telah membantu industri terus beroperasi dan ini telah memberikan keyakinan industri untuk bekerja lebih keras untuk meningkatkan pengeluaran dan memastikan keterjaminan makanan pada harga berpatutan kepada negara,” kata persatuan itu.

Disember lalu, kerajaan mengambil keputusan mengimport telur ayam dari India bagi memenuhi keperluan bekalan di negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu menjelaskan langkah itu diambil memandangkan pengeluar tempatan tidak dapat memenuhi permintaan peniaga dan pengguna.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk mengimport sekurang-kurangnya dua juta hingga 10 juta biji telur sehari mulai 15 Disember tahun lalu bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain bagi tujuan mengawal harganya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS