Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak kera diseksa demi 'follower', kumpulan hak haiwan lapor polis

Sebuah kumpulan hak asasi haiwan menggesa pihak polis mengambil tindakan segera ke atas individu yang didakwa menyeksa anak kera ekor panjang (long-tailed macaque) demi kepuasan peribadi dan mendapat wang di media sosial.

Dr Kartini Farah Abdul Rahim yang mewakili kumpulan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) berkata dia membuat laporan polis selepas menerima maklumat daripada kumpulan hak asasi hidupan liar antarabangsa.

Katanya berdasarkan maklumat yang diperoleh, pelaku merakam seksaan terhadap haiwan itu dan menjual rakamannya di akaun Telegram bernama Monkey Haters.

"Saya menerima maklumat kekejaman terhadap anak kera di mana ada beberapa warga Malaysia yang berkongsi kekejaman anak kera dipukul, dikerat, dibakar dan diletakkan dalam air panas untuk kepuasan diri dan untuk mendapatkan wang dari followers.

"Ini adalah sesuatu yang sangat kejam, perlu disiasat dengan segera oleh polis," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD)Shah Alam.

Peguam Rajesh Nagerajan yang turut hadir di IPD berkenaan berkata mereka menerima rakaman penyeksaan terhadap haiwan itu membabitkan tindakan memukul kera dengan objek tumpul, membakar, merebus dan melapahnya hidup-hidup.

"Pelaku menyeksa anak-anak kera itu dengan objek tumpul ketika ia masih hidup dan menjerit kesakitan.

"Semasa proses itu, pelaku mengambil gambar dan video, dan menyiarkannya di Telegram, seperti treler.

"Jika sesiapa dalam kumpulan Telegram ingin menonton video penuh, mereka perlu membayar sejumlah wang kepada pelaku.

“Inilah yang dipanggil penyeksaan porno,” katanya sambil menambah video itu dijual kepada orang ramai di seluruh dunia melalui aplikasi media sosial.

Tambahnya, penjenayah terbabit perlu ditangkap dan didakwa mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS