Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Apa maksud Masyarakat Madani Anwar Ibrahim

Semalam berlangsung amanat khas perdana menteri “Membangun Malaysia Madani”, sebuah konsep yang tidak asing bagi mereka yang meneroka gagasan pemikiran Anwar Ibrahim. 

Berbanding Malaysia, konsep masyarakat madani ini lebih mendapat perhatian di Indonesia – sekurang-kurangnya melalui perbincangan melalui tulisan. 

Ahli ekonomi dan aktivis hak asasi Indonesia, allahyarham Dawam Rahardjo mengatakan tunjang kepada masyarakat madani adalah perpaduan melalui integrasi sosial yang didasarkan pada suatu ikutan hidup, dan menghindarkan diri dari konflik yang mampu menyebabkan perpecahan. 

Dawam juga berhujah inti utama kepada konsep ini adalah sebuah masyarakat yang demokratik. 

satu lagi slogan kosong?

Sebelum kerajaan perpaduan wujud, kita miliki beberapa slogan – Malaysia Baharu, Kerajaan Prihatin, dan Keluarga Malaysia. 

Tiada apa-apa makna yang terlalu besar melalui slogan-slogan ini melainkan sebuah slogan untuk menyedapkan hati dan perasaan penguasa. 

Sehingga hari ini, slogan-slogan di atas masih tidak menjadi tunjang atau kiblat kepada pembinaan dasar-dasar kerajaan. 

Saya tidak mahu membuang masa mengulas akronim MADANI yang telah dipersetujui ramai, agak melucukan. 

Salah satu sebab saya mengikuti perjuangan Anwar adalah sifatnya yang konsisten berbanding pemimpin lain terhadap isu-isu pokok negara. 

Oleh itu, saya ingin memetik ucapannya pada tahun 1997 berkaitan konsep masyarakat madani:

“Masyarakat Madani yang kita bayangkan diasaskan di atas prinsip akhlak dan pemerintahan berasaskan hukum, bukan oleh nafsu manusia yang tidak menentu. Masyarakat di mana pertumbuhan institusi kemasyarakatan – lembaga yang menjadi pengantara antara keluarga dan negara – dipupuk dan bukannya dicantas, di mana kecemerlangan serta cita rasa harus pula menggantikan kelaihan dan kepicisan. Justeru itu, kita perlu menghidupkan semangat kebebasan, menyuburkan kemerdekaan diri, mengembalikan nilai keperimanusiaan, dan menyegarkan sikap berlapang dada. Lantaran itu, prinsip musyawarah dan demokrasi didukung, ia tidak pula disogokkan dan dipaksakan, terutama menurut acuan dan pengalaman Barat.” 

Anda tidak perlu membuka kamus untuk memahami apa yang diperkatakan Anwar – orangnya memang seperti itu – perbendaharaan katanya kaya, sesuai dengan gelaran mantan presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaysia. Sebuah persatuan yang kini seperti telah mati. 

Secara asasnya Anwar mahukan sebuah masyarakat yang tidak terlalu tamak terhadap kebendaan dan gilakan kuasa sehingga melanggar undang-undang. 

Anwar mahu kemasyarakatan menjadi tunjang kepada pembinaan negara bangsa – dan keilmuan, prinsip demokratik, perpaduan, dan kebebasan menjadi bumbung kepada gagasan masyarakat madani. 

Anwar menyedari tiga hal yang paling merosakkan negara – gilakan harta benda, kehilangan moral (rasuah, mencabuli hukum), dan amalan tidak demokratik ketika berhadapan dengan orang yang berbeza pandangan. 

Anwar ada cabaran yang besar di hadapan, terutamanya dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang lebih bermoral dan kritis. 

Negara kita jarang dikritik kerana jumlah bangunan pencakar langitnya, tetapi sering diejek kerana masyarakatnya yang lemah – ramai yang terlalu gilakan harta, kurang kritis, kaki ampu, dan mudah dimanipulasi. Malaysia akan bergerak dengan lebih maju apabila memiliki masyarakat yang kritis dan berani. 

Untuk melahirkan masyarakat yang kritis – pembinaan dasar juga harus dibina oleh orang yang kritis dan membumi. 

Malaysia bukanlah kekurangan pemikir dan ilmuan – kita kekurangan mereka yang berani mengatakan hal yang berbeza dengan autoriti. 

Akhirnya sistem bobrok ini menggalakkan pengampu dan kaki angguk untuk berada pada posisi-posisi yang penting – walaupun bukan semua. 

Sebab itulah elemen ‘demokratik’ seperti yang dibahas Dawam Rahardjo merupakan elemen terpenting dalam gagasan ini. 

Seperti seruan Anwar beberapa hari lepas – jika ada menteri ambil rasuah, penjawat awam harus laporkan. 

Sifat benci kepada kemungkaran dan mampu bertindak setelah melihat kemungkaran perlu ditanam dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia. 

Semoga selepas kuliah Anwar semalam, sifat-sifat ini dibawa pulang ke kantor-kantor besar untuk dibedah dan dijadikan panduan dalam semua tindakan yang bakal diambil kerajaan. 


RAHMAN IMUDA merupakan pemerhati politik dan penulis buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS