Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hassan jawab teguran Shabery dengan puisi
Diterbitkan:  Jan 20, 2023 12:45 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, menggunakan pendekatan seni dan sastera untuk menjawab "teguran" pemimpin Umno yang mengingatkan dia agar tidak menyerang sesama sendiri secara terbuka selepas menjadi kerajaan.

Hassan merupakan pemimpin PKR yang lantang mengkritik pemimpin Umno dalam kerajaan, terutamanya dalam usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menjalankan tadbir urus yang baik.

Puisi terbaru Hasan yang berjudul Demi Daulah Ini dipercayai menjawab kritikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) Ahmad Shabery Cheek semalam yang mengulas terhadap kenyataan ahli parlimen terbabit.

Ahmad Shabery sebelum ini menunjukkan rasa simpati terhadap dilema dihadapi Anwar ekoran kritikan terbuka Hassan membabitkan kes mahkamah dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

"Atas nama kestabilan, jangan digoncang perahu ini. Jangan, jangan nanti karam semua," demikian tulis Hassan pada rangkap pertama puisinya.

Ahmad Shabery semalam mengingatkan perbuatan mengkritik rakan dalam kerajaan secara terbuka merupakan 'virus' yang belum ada vaksinnya sehingga kini.

Ia juga, kata bekas menteri terbabit, boleh memendekkan jangka hayat kerajaan seperti dihadapi Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini.

Pemimpin Umno itu juga menyifatkan kerajaan sekarang dibina menggunakan jambatan sementara dengan menggunakan besi dan berdepan risiko runtuh.

"(Kerajaan hari ini ibarat) jambatan segera pakai besi. Banyak skru. Kalau tercabut, cepatlah runtuh. Nak buat yang konkrit makan masa,” katanya dalam satu hantaran menyindir di Facebook, semalam.

Ahmad Shabery Cheek

Puisi veteran PKR itu dilihat bernada sindiran dan melontarkan pendekatan bahawa perkara terbaik untuk dilakukan atas nama kestabilan adalah berdiam diri, menerima hakikat bahawa kini PH dan BN bekerjasama.

Melalui tulisan tersebut Hassan secara sinis berkisah tentang sikap dirasakan oleh sesetengah pihak perlu ada "demi negara" termasuk enggan bersuara terhadap sebarang kegagalan agar ia tidak “karam.”

Berikut puisi penuh Hassan:

Demi daulah ini
atas nama kestabilan
jangan digoncang perahu ini
jangan, jangan
nanti karam semua.

Ingat ya,
jambatan kamu
bukan Jambatan konkrit
ingat itu.

Lalu, diam semua kamu
sebaiknya
jangan lagi
jangan lagi bicara hal-hal rasuah.

Jangan, jangan
jangan diungkit-ungkit
ketirisan itu
kebocoran ini.

Jangan
jangan disebut lagi
kes itu
kes ini.

Perkataan-perkataan kluster dan mahkamah
semua itu, sensitif waktu kini.

Membisulah kamu sebaiknya saudara
jangan
jangan bising-bising lagi
nanti karam perahu ini
nanti tercabut skru-skru
jambatan bailey ini.

Ini petua dariku saudara
membisu itu baik di kala ini
ya, membisu itu pilihan terbaik kini.

Jangan
jangan kamu terlalu idealis saudara
pragmatislah sedikit
apoligislah sedikit
kita kan terpaksa segalanya
hidup lemas dalam dilema ini?

Ya, terimalah hakikat saudara
timbulnya kamu
tenggelamnya aku
kan kita kembar siam?

Jangan
jangan digoncang perahu ini
nanti kita semua karam
lemas dan tenggelam.

Option kita saudara
hanya satu atau dua saja.

Pekakkan telingamu
buat-buat tidak dengar
mereka memunggah harta negara.

Jangan
jangan saudara
jangan buka matamu
buat-buat buta saudara
pura-puralah tak kelihatan
mereka melarikan kekayaan ke Virgin Island.

Nah, ini saja pilihan yang ada
untuk selamat bernyawa
ayuh, matikan segera nuranimu
kita korbankan segalanya
demi kestabilan daulah ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS