Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah benar Isa Samad dapatkan pasport untuk ibadah umrah
Diterbitkan:  Jan 19, 2023 12:45 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini membenarkan permohonan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menunaikan ibadah umrah pada 10 Feb ini.

Datuk Seri Kamaludin Md Said yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan permohonan Mohd Isa, 73, selepas mendengar hujahan peguamnya, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff.

Mohamed Baharudeen berkata anak guamnya akan berangkat menunaikan umrah pada 10 Feb hingga 23 Feb ini.

“Anak guam akan pulang ke Malaysia pada 23 Feb ini dan saya mohon pasport dikembalikan pada 7 Mac,” kata Mohamed Baharudeen yang hadir bersama peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut yang difailkan pada 10 Jan lepas.

Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah  berkata Mohd Isa selaku perayu perlu mengembalikan pasport beliau kepada mahkamah pada 7 Mac ini.

Pada Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Mohd Isa untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri majlis konvokesyen anak tirinya di sebuah universiti di United Kingdom.

Pada 3 Feb 2021, Mohd Isa disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun setelah Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan selesai dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan  rayuan terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021 dan rayuan berkenaan akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS