Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tahan tiga penjawat awam Sabah
Diterbitkan:  Jan 18, 2023 6:21 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan menahan tiga individu yang bertugas dengan jabatan kerajaan Sabah di Labuan setelah disyaki terlibat menerima rasuah bagi pengeluaran lesen kapal kecil.

Ketiga-tiga mereka ditahan di pejabat SPRM di Labuan kira-kira pukul 12 tengah hari selepas memberi keterangan.

Pengarah SPRM Labuan Datu Robbyie Shym Datu Pindatun berkata penjawat awam berusia antara 50 dan 60 tahun itu akan dibawa ke mahkamah khas rasuah di Labuan untuk perintah reman.

“Ketiga-tiga penjawat awam itu yang kini bertugas di Lahad Datu dan Kota Kinabalu telah dipanggil ke pejabat SPRM di Labuan hari ini dan mereka kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata mereka didakwa menerima antara RM3,000 dan RM5,000 bagi setiap permohonan lesen Kapal Kecil Berlesen Sabah daripada pengendali pelancongan antara 2017-2019.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS