Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM minta menteri tangani isu diketengah Laporan Ketua Audit Negara
Diterbitkan:  Jan 18, 2023 2:54 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan semua anggota kabinetnya meneliti dan memandang serius Laporan Ketua Audit Negara 2021 dan bertindak mengikut syor yang diberikan dalam laporan itu.

Bercakap kepada pemberita petang ini, perdana menteri berkata dia mahu menteri memastikan semua isu yang diketengahkan dalam laporan audit kerajaan tidak berulang, terutama apabila ia melibatkan ketirisan dana awam.

“Kita mengadakan perbincangan panjang (dalam mesyuarat kabinet) mengenai Laporan Ketua Audit Negara bagi 2021.

“Kita harus mengambil pengajaran daripada laporan ini, jadi saya minta semua menteri membawanya ke mesyuarat pasca kabinet masing-masing dan meneliti setiap isu dan syor tentang perbelanjaan, ketirisan, dan perkara yang tidak dilakukan mengikut peraturan dan prosedur.

"Semua ini telah disebut secara terperinci, dan akan dibentangkan dalam persidangan parlimen akan datang. Tetapi buat masa ini, saya telah meminta semua menteri untuk melihat secara serius isu-isu ini supaya kita tidak mengulanginya.

"Kerana kadangkala, apabila Laporan Ketua Audit Negara membuat syor mereka, isu yang sama terus berlarutan tahun demi tahun," katanya pada sidang media itu.

Anwar berkata kerajaan tidak akan mendedahkan kandungan laporan itu pada ketika ini untuk memberi peluang kepada agensi terbabit untuk menjawab penemuan Jabatan Ketua Audit Negara.

Menurut perdana menteri, dia mahu setiap kementerian mengambil tanggungjawab untuk melihat semua teguran terhadap mereka dan mengingatkan penjawat awam bahawa mereka mempunyai kewajipan untuk mengekalkan integriti dan kecekapan.

Sementara itu, mengenai gesaannya supaya penjawat awam bertindak sebagai semak dan imbang dalam mencegah rasuah dan pembaziran, Anwar menjelaskan hari ini bahawa ia bertujuan untuk menghapuskan rasa takut di kalangan kakitangan awam daripada bersuara menentang salah laku.

Bagaimanapun, katanya, terdapat mekanisme untuk mereka menyampaikan kritikan dengan betul kepada pihak atasan dan menteri.

“(Sudah tentu) bukan dengan membuat kenyataan melalui RTM. Kita ada mekanisme untuk mengkritik.

"Kita ada mesyuarat harian. Kita juga ada mesyuarat pasca kabinet di mana kita boleh menyampaikan pandangan," katanya.

Sementara itu, semasa sidang media itu, Anwar berkata kabinet turut mengesyorkan SPRM terlibat dengan Rangkaian Operasi Global Pihak Berkuasa Penguatkuasaan Undang-undang Anti Rasuah, atau Globe Network, yang merupakan platform di bawah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah.

Dia berkata ini bertujuan mengukuhkan operasi agensi antirasuah itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS