Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Madius gesa kabinet bincang kapal kargo hilang sejak 9 Jan
Diterbitkan:  Jan 17, 2023 8:44 PM
Dikemaskini: 12:44 PM

Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau menggesa kabinet membincangkan mengenai kapal kargo MV Dai Cat 06, yang dilaporkan hilang sejak 9 Jan, dalam mesyuarat mingguan mereka esok.

Dia berkata demikian selepas melawat keluarga salah seorang anak kapal yang hilang hari ini di Kota Kinabalu, Sabah.

“Kerajaan mesti menjalankan siasatan menyeluruh bagi mencari jawapan kepada soalan yang dibangkitkan pelbagai pihak berkepentingan, terutama daripada keluarga anak kapal yang hilang.

“Soalan seperti mengapa ejen perkapalan dan penerima barang di dalam kapal kargo tidak membuat laporan polis memerlukan jawapan,” katanya pada satu siri catatan Twitter hari ini.

Menurut Madius dia telah menghubungi Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengenai kapal kargo yang hilang itu dan akan menyampaikan semua maklumat serta perkembangan terkini kepada menteri itu.

Operasi mencari yang diselaraskan oleh Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) telah dibatalkan pada hari Sabtu (14 Jan) selepas tiada petunjuk baru ditemui.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Mohd Zubil Mat Som berkata operasi mencari akan diaktifkan semula sebaik sahaja Basarnas menemui petunjuk baru berhubung kejadian itu.

Madius berkata, salah seorang anak kapal kali terakhir berkomunikasi dengan ahli keluarganya pada petang 1 Jan berkata mereka masih berada di sekitar Singapura.

Bawa paip

Dia memberitahu Malaysiakini bahawa keluarga anak kapal membuat laporan orang hilang pada hari yang sama operasi mencari dihentikan pada 14 Jan.

MV Dai Cat 06 ialah kapal kargo berdaftar Malaysia yang membawa 527 paip, bernilai RM726,205, apabila dilaporkan hilang di perairan Indonesia pada 9 Jan.

Ejen kapal itu juga membuat laporan polis pada hari yang sama.

Kapal kargo yang dikendalikan tiga warga tempatan dan dua anak kapal Indonesia itu berlepas dari Kampung Aceh, Perak pada 23 Dis 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Dis.

Laporan tambahan oleh Geraldine Tong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS