mk-logo
Berita
Perhilitan Kelantan ambil masa tiga jam pindah gajah
Diterbitkan:  Jan 17, 2023 5:28 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengambil masa tiga jam untuk memindahkan seekor gajah jantan di Kampung Sungai Taku, dekat Kuala Krai, ke Taman Negeri Royal Belum, Perak.

Pengarahnya Hafid Rohani berkata haiwan berusia lingkungan 15 hingga 20 tahun dengan berat dua tan itu berjaya ditangkap Sabtu lepas.

"Kami menerima aduan berkaitan gangguan gajah liar terbabit dan tindakan beberapa siri tembakan dilakukan bagi menghalau gajah liar itu kembali semula ke hutan simpan berhampiran, namun tidak berhasil.

"Operasi pemindahan gajah liar ini mengambil masa selama tiga jam yang turut disertai kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Pahang dan menggunakan khidmat dua ekor gajah denak iaitu Rambai dan Abot dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hafid berkata operasi tangkapan gajah liar itu bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada penduduk setempat selain memastikan keselamatan mereka.

"Gajah ini dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Sokor Taku dan populasi gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 14 ekor," katanya.

Katanya, antara faktor gajah itu berkeliaran di kawasan perkampungan itu ialah pengecilan habitat serta tarikan sumber makanan.

Keadaan kebun yang bersemak samun turut sesuai sebagai habitat sementara haiwan liar itu, katanya.

Hafid berkata tahun lepas pihaknya telah berjaya memindahkan 19 ekor gajah liar iaitu masing-masing enam di Jeli dan Gua Musang manakala tujuh di Kuala Krai, ke habitat asal.

"Tindakan tangkap pindah bukanlah penyelesaian jangka panjang kerana kawasan kebun penduduk berhampiran hutan simpan dan dipercayai dalam tempoh beberapa bulan gajah ini akan kembali ke kawasan kebun penduduk.

"Pembinaan sistem pagar eletrik gajah (SPEG) langkah paling berkesan bagi menghalang gajah liar ini memasuki kebun penduduk selain orang ramai (dinasihatkan) berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS