Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno: Bila Muhyiddin mahu jumpa SPRM?
Diterbitkan:  Jan 17, 2023 1:06 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil secara sinis bertanya bila Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin ingin "bertemu" Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Isham berkata, rakyat ingin mengetahui tentang dakwaan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM92.5 bilion semasa darurat Covid-19 ketika negara dipimpin ahli parlimen Pagoh itu.

"Saya ingin tanya Muhyiddin, alang-alang sudah balik ke Malaysia setelah berminggu-minggu di London, bila mahu berjumpa SPRM pula?” soalnya.

Sebelum ini, Isham sudah melontarkan pertanyaan di mana Muhyiddin selepas dia dikatakan bercuti di luar negara.

Muhyiddin Yassin

Sebelum itu, tular gambar mirip bekas perdana menteri kelapan yang dikatakan bercuti di London.

Percutian itu dikaitkan dengan  "Langkah London" yang dikatakan merancang usaha untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beberapa pemimpin Umno yang dikaitkan dengan perkara itu seperti Mahdzir Khalid dan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan itu.

Muhyiddin menafikan dakwaan menyeleweng dana RM92.5 bilion dan menyifatkannya sebagai “pembohongan maha dahsyat”.

Awal bulan ini Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 42 tahun berhubung dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan Covid-19 sewaktu pentadbiran terdahulu.

SPRM menahan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta kerana didakwa menjadi orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan bawah pakej rangsangan ekonomi antara 2020 dan 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS