Gaji minimum merupakan salah satu perjuangan golongan kiri sejak dahulu. Jika kita melihat tuntutan golongan union merah bawah Gabungan Kesatuan Sekerja Se-Malaya (PMFTU), gaji minimum dituntut sejak tahun 1940-an lagi.
Bagi Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula, perjuangan berkaitan gaji bermula dengan tuntutan haji bulan oleh Jaringan Solidariti Masyarakat Ladang (JSML). Pekerja pada masa itu diberikan gaji harian. Kempen gaji bulanan sebanyak RM750 sebulan itu dimulakan di Ladang Bukit Rajah Klang pada 1 Mei 1996.
Pada masa itu, suatu kempen nasional diadakan untuk menuntut gaji minimum sebanyak RM750 sebulan untuk penoreh getah dan pekerja ladang kelapa sawit. Sebelum ini, gaji pekerja tidak tetap, dari RM200 pada musim daun luntur ke RM900 pada musim keluaran susu getah banyak. Ini juga bergantung kepada cuaca.
Baca: Gaji minimum untuk majikan kurang dari 5 pekerja ditangguh
Hasil kempen ini, Samy Vellu dan Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri pada masa itu, mengumumkan gaji bulanan asas RM325 dan gaji penuh pekerja ladang sebagai jumlah RM325 + bayaran ikut keluaran getah/kelapa sawit + harga komoditi dalam pasaran dunia.
Selepas kejayaan itu, PSM beralih fokus kepada suatu gaji minimum merangkumi semua sektor dari tahun 2002. Pada masa ini, tiada konsep gaji minimum, ada pekerja yang menerima hanya RM400 sebagai gaji bilangan. Kempen yang digerakkan oleh Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan Sekerja (GPKK) pula menuntut RM900 sebulan.
Tuntutan RM900 ini dibuat setelah perbincangan dengan pelbagai pihak pekerja di seluruh negara. Suatu kempen tandatangan besar-besaran diadakan di peringkat nasional dan negeri serta suatu perhimpunan bersama tiga ribu pekerja diadakan di parlimen Malaysia.
Hasil daripada kempen selama sembilan tahun, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 diwujudkan. Majlis Perundingan Gaji Negara dipertanggungjawab untuk mengkaji semula perintah gaji minimum sekali setiap dua tahun dan menasihati kerajaan tentangnya. Perintah Gaji Minimum pula mula dilaksanakan dari Julai 2012, tetapi pelaksanaan gaji minimum ditangguhkan ke 1 Januari 2013.
Gaji minimum pertama bagi seluruh Malaysia adalah RM900 untuk Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Malaysia Timur pada 1 Januari 2013. Akan tetapi, terdapat beberapa kelonggaran untuk sesetengah majikan sehingga 1 Januari 2014.
Perintah Gaji Minimum seterusnya dilaksanakan pada Januari 2016, dengan peningkatan gaji minimum kepada RM1,000 di Semenanjung Malaysia dan RM920 di Malaysia Timur dari 1 Julai 2016. Perintah seterusnya dilakukan pada Januari 2019 yang menyelaraskan gaji minimum yang sama di seluruh Malaysia, iaitu RM 1,050.
Peningkatan yang kecil ini dibantah oleh PSM, kesatuan-kesatuan sekerja dan NGO lain melalui Gabungan Bantah 1,050 yang berjaya meningkatkan gaji minimum kepada RM1,100 melalui kempen dan forum yang diadakan dari pilihan raya kecil Port Dickson 2018 sampai suatu protes besar di hadapan parlimen. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bawah pimpinan J Solomon memainkan peranan yang amat penting bagi gerakan ini.
Seterusnya, pada Februari 2020, gaji minimum ditingkatkan ke RM1,200 hanya di 57 bandar utama, manakala RM ,100 kekal sebagai gaji minimum di tempat lain. Peningkatan gaji minimum yang terbaharu adalah pada bulan Mei 2022, iaitu peningkatan ke RM1,500, dengan penangguhan diberi kepada majikan yang menggaji kurang daripada lima pekerja sehingga Januari 2023 (yang kini ditangguhkan lagi kepada 1 Julai 2023).
Sejarah ini jelas tidak adil kepada golongan pekerja disebabkan peningkatan gaji minimum yang tidak konsisten. Sepatutnya, gaji minimum mula dilaksanakan dari 1 Julai 2012, tetapi hanya dilaksanakan secara sepenuhnya pada 1 Januari 2014 (penangguhan 18 bulan). Peningkatan gaji minimum pertama sepatutnya dilaksanakan pada 1 Julai 2014, tetapi tertangguh ke 1 Julai 2016 (penangguhan 24 bulan).
Gaji minimum ketiga sepatutnya dilaksanakan pada 1 Julai 2016 (tertangguh 30 bulan ke 1 Januari 2019), keempat pula dilaksanakan pada 1 Julai 2018 (tertangguh 19 bulan ke 1 Februari 2020 hanya untuk 57 bandar utama), kelima patut dilaksanakan pada 1 Julai 2020 (tertangguh 22 bulan ke 1 Mei 2022 dengan beberapa penangguhan ke 1 Julai 2023) dan keenam dilaksanakan pada 1 Julai 2022 (belum dilaksanakan). Rujuk Jadual 1.
Semua penangguhan ini jelas menindas pekerja, malah gaji minimum sebanyak RM1,800 sepatutnya dapat dicapai pada tahun ini akibat suatu peningkatan gaji minimum terlepas, lebih tinggi daripada janji Pakatan Harapan dan BN yang ingin meningkatkannya kepada RM1,500.
Dengan andaian jumlah gaji minimum yang sama untuk setiap peningkatan, dari Januari 2014, setiap pekerja yang bergaji minimum hilang sebanyak RM13,900 disebabkan penangguhan ini. Jika kita mengambil kira tempoh Julai 2012 – Januari 2014 dengan andaian gaji terendah sebagai RM 750 sebelum perlaksanaan gaji minimum 2014 serta gaji minimum ditingkatkan ke RM1,800 pada 1 Julai 2022 seperti yang sepatutnya, jumlah gaji yang hilang adalah sebanyak RM18,400. Perincian ini dapat dilihat pada Jadual 2.
Dengan memahami isu ini, kita semua kena bertanya, adakah penangguhan terbaharu oleh menteri sumber manusia kerajaan “perpaduan” ini dapat dianggap adil?
Sebagai suatu kerajaan yang memberi komitmen akan membela warga B40 seperti mana yang dikata oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, akankah setiap pekerja bergaji minimum akan mendapat balik gaji yang hilang ini?
Sudah tiba masanya gaji minimum dilaksanakan secara adil. Malah, gaji minimum itu sahaja tidak mencukupi.
Kerajaan Malaysia mesti beralih kepada gaji sara diri (living wage) yang berjumlah RM2,700 sebulan untuk seorang individu bujang di Kuala Lumpur menurut Bank Negara pada tahun 2018.
ARVEENT KATHIRTCHELVAN ialah ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.