Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Putra kekal bersama GTA walau dalam keadaan sukar'
Diterbitkan:  Jan 15, 2023 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Presiden Putra Ibrahim Ali berkata parti itu akan kekal bersama Gerakan Tanah Air (GTA) buat masa ini, meskipun gabungan itu sedang berdepan keadaan sukar berkaitan hala tujunya.

Ibrahim berkata, Putra enggan membuat keputusan tergopoh-gapah memandangkan masih panjang masa sebelum PRU16, dan parti itu juga belum memutuskan untuk bertanding dalam PRN di enam negeri pada tahun ini.

Katanya, keputusan itu kekal sehinggalah barisan pimpinan GTA membuat keputusan berkenaan hala tuju gabungan itu.

"Dunia politik ada dua golongan, yang sertai politik untuk kejayaan diri dengan cepat, yang lebih malang ada yang sudah menikmati kejayaan sebelum ini dan memegang jawatan, cukup dengan kekayaannya, namun jati diri amat rapuh dan lalang.

"Pemimpin palsu yang pasti tidak memberi apa-apa harapan kepada perjuangan membela dan memperkasa Islam, Melayu, Bumiputera dan negara. Mereka adalah sama darjat dengan golongan yang hendak diganti dan jika dicermin diri, tidak lebih dari dua kali lima sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim bagaimanapun tidak mengaitkan kenyataannya itu dengan mana-mana pihak secara khusus.

Kenyataan ini dibuat sehari selepas Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir mengumumkan parti itu keluar dari GTA atas sebab ingin memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti.

Mukhriz berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan para perwakilan dalam Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua semalam, ekoran kekalahan teruk parti itu dalam PRU15 yang lalu.

Dalam kenyataannya, Ibrahim membangkitkan bekas pengerusi Pejuang dan juga bapa Mukhriz, Dr Mahathir Mohamad yang kekal bersama GTA selepas meletakkan jawatan dalam parti.

"Perjuangan (Putra) hanya baru menempuh usia hampir empat tahun termasuk ketika penularan wabak Covid-19 selama duan tahun - boleh aktif hanya dua tahun.

"Terbukti yg tetap kekal bersama adalah yg telah teruji ketahanan jati diri perjuangan...dan bukan pada retorik di bibir mulut," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS