Perangkaan pelajar dengan masalah pembelajaran khusus menunjukkan peningkatan saban tahun dan jika tiada kesedaran di kalangan ibu bapa, pendidik dan masyarakat golongan ini akan berterusan dihambat masalah keciciran.
Penyelidik dan sukarelawan Persatuan Disleksia Malaysia Nor Bibi Maslina Jusoh memetik kajian antarabangsa berkata terdapat sepuluh peratus penduduk dunia dengan kecenderungan disleksia.
"Kalau kita tengok populasi itu ramai. Perangkaan 2021 kanak-kanak di Malaysia berusia 7 hingga 17 tahun ada sekitar 5.4 juta juta kanak-kanak.
"Boleh jadi sekitar 540,000 pelajar ada ciri-ciri disleksia," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini.
Kementerian Kesihatan pula menganggarkan sekitar empat ke lapan peratus pelajar sekolah Malaysia menghidap disleksia, bersamaan antara 200,000 ke 400,000 orang yang mengalami kesukaran membaca, menulis, memahami, mengeja dan mengira.
Ini kerana masalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi.
Nor Bibi membangkitkan peluang terhadap kanak-kanak daripada keluarga golongan berpendapatan rendah dalam meneroka potensi mereka.
"Yang B40 ni apa peluang yang mereka ada, jika tidak ada intervensi," soalnya.
"Mungkin cabaran yang lebih teruk lagi bila kita berhadapan dengan B40 yang (terbatas) peluang, kewangan, yang mungkin contohnya untuk mereka pergi ke kursus parenting untuk anak-anak disleksia ini (dianggap) tidak berbaloi, lebih baik beli makanan," katanya yang sedang menyiapkan kajian pasca siswazah dalam bidang pedagogi disleksia di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menurut Data Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan 2020 pula terdapat 13,302 murid berkeperluan khas kategori masalah pembelajaran spesifik disleksia di sekolah kerajaan.
Untuk rekod, Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran P Komala Devi pernah membangkitkan isu keciciran pelajar pembelajaran khusus di Dewan Rakyat pada 2004.
Menurut Komala terdapat lima peratus kes disleksia dikesan di mana-mana komuniti atau bersamaan seorang bagi setiap 20 pelajar dan jumlah itu lebih besar berbanding Sindrom Down, iaitu sekitar satu dalam 600 orang; dan spastic, sekitar satu dalam 700 orang.
Presiden Persatuan Sosial Harmoni Malaysia (PSHM), Nordin Ahmad (2005) pula melaporkan dapatan kajian persatuannya bahawa 10 ke 15 peratus murid sekolah rendah di seluruh negara yang kebanyakannya orang Melayu, mengalami disleksia.
Sementara itu, Nor Bibi yang mesra digelar Cikgu Bibi oleh pelajarnya dan ibu bapa di Persatuan Disleksia Cawangan Utara Sungai Petani berkata mengajar anak-anak dengan masalah pembelajaran khusus ini satu keunikan.
"Ini kerana dalam pendidikan membaca, mengeja dan mengira ini adalah asas.
“Tapi kenapa ada anak-anak dalam umur tertentu masih tidak boleh membaca.
"Jadi saya sebagai guru merasa tercabar. Sebab ada murid itu pada tahap tertentu dia dah boleh membaca tapi kenapa tak boleh membaca," katanya yang lebih dua dekad menekuni isu pendidikan anak-anak disleksia.
Bina aplikasi baca untuk disleksia
Bercerita pengalamannya menjadi guru pendidikan khas di sekolah, Nor Bibi mula mengajar selepas tamat pengajian ijazah pertama dalam bidang sains komputer di UPM pada 2004.
Waktu itu, katanya dia dihantar ke kelas mundur dan kemudian ke kelas pemulihan khas.
"Di sinilah ramai kanak-kanak disleksia. Tapi pada waktu itu saya tidak tahu mengenainya lagi.
"Cuma saya mengesan apa masalah budak-budak ni. Ajar hari ini, besok dia lupa. Mengeja huruf terbalik-balik pula," katanya lagi.
Selepas berkursus dengan Jabatan Pendidikan Khas pada 2005, Nor Bibi terlibat aktif dalam persatuan disleksia di Sungai Petani, bersama rakan penggeraknya juga guru pendidikan khas Mohamad Shibly Hassan.
Ketika menyiapkan pengajian peringkat sarjana di UUM, Nor Bibi turut menggunakan pengetahuannya dalam sains komputer dengan membina aplikasi membaca untuk kanak-kanak disleksia.
"(Mereka) belajar huruf-huruf yang selalu dia orang terbalik antaranya b dan P.
"Saya buat aplikasi tu dan uji dengan anak-anak di persatuan tu dalam tiga bulan. Seminggu awal masih lagi terbalik tapi kemudian nampak perkembangan tu," katanya.
Selain mengendalikan program pemulihan untuk pelajar disleksia, persatuan itu juga mengendalikan latihan untuk ibu bapa dan guru sekolah di sekitar Kedah.
"Mungkin saya ambil berat dan sebagainya tetapi tak dapat nak cover dengan dua tangan ni.
Ibu nak berhentikan anak sekolah
"Tapi bila kita melaksanakan program-program sebegini, harap pihak yang berkenaan itu nampaklah.
"Harapan kita juga, pihak-pihak lain tu lebih cakna dengan angka-angka (statistik pelajar disleksia). Adakah satu angka saja," soalnya lagi.
Nor Bibi juga berkata dengan intervensi awal kanak-kanak disleksia berpeluang mencapai kejayaan dalam bidang akademik serta meneroka potensi lain kemahiran hidup.
"Manusia ni macam-macam kelebihan dan dengan kelebihan dia itu dia boleh cari makan nanti," katanya.
Perkara itu telah terbukti, jelasnya kerana ramai tokoh terkenal dunia dalam pelbagai bidang menghadapi masalah disleksia seperti pelukis Leornado Da Vinci dan Pablo Picasso, penyanyi John Lennon, pelakon Tom Cruise, saintis Thomas Alva Edison dan ahli fizik Albert Einstein (gambar, bawah).
Selain itu, pengasas teknologi Microsoft Bill Gates, Apple Steve Jobs, pengasas Virgin Group Richard Branson malahan juga presiden AS John F Kenndy juga mempunyai masalah pembelajaran dan kesukaran membaca serta mengeja.
Menurut Nor Bibi, menjadi suatu kepuasan apabila anak-anak disleksia didikannya berjaya dalam hidup.
"Ada ibu bapa yang dulu saya jumpa - dalam dilema, keliru, nak berhentikan anak sekolah. Saya tengok sekarang anak awak dah dapatpun kerja. Dah dapat ijazah pun.
"Walaupun di sekolah dulu sering dibuli oleh kawan-kawan, tak dapat peluang. Tapi bila kita ubah ke saluran yang betul, mereka dapat mencapai potensinya," katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, dua ikon daripada Persatuan Disleksia Cawangan Utara Sungai Petani, Muhamad Hafiz Mohamed Ali dan Nor Laila Abd Rozak@Razak (gambar, bawah) berkongsi aspirasi mereka bersama Malaysiakini.
Hafiz kini seorang jurutera automotif lulusan United Kingdom manakala Laila pula seorang pengaturcara komputer yang kemudian terjun ke dunia seni sebagai kurator dan kini mendalami bidang undang-undang pula.
"Masa kanak-kanak saya struggle sebab saya tak boleh membaca sehingga umur sepuluh tahun.
"Itupun Alhamdulillah, Allah buka hati cikgu kelas saya yang dia sangat membantulah untuk saya membaca kalau tidak saya rasa sampai sekarang tidak tahulah saya di mana.
"Sekarang bolehlah saya membaca selepas saya diajar cara membaca," kata Hafiz (gambar, bawah) yang juga guru silat Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia cawangan Sungai Petani, Kedah.
Jelasnya, sewaktu belajar di UK dia mendapat pendedahan bahawa kanak-kanak disleksia yang terbiar yang tidak dididik dnegan betul, akan berkecenderungan menjadi penjenayah.
"Ketika saya di sekolah, masuk kelas khas membaca. Pada awalnya ada 20 orang murid dan selepas itu hanya tiga orang saja yang lulus.
"Jadi persoalan saya sampai sekarang, 17 orang itu berada di mana," katanya.
BACA BERKAITAN: Seni denai selamat pelajar disleksia - Pakar
Sementara itu, Laila memberitahu Malaysiakini mengenai projek pameran seni menampilkan enam karyawan remaja disleksia berumur antara 11 ke 17 tahun dari Kedah.
"Datanglah tengok pameran ini tengok dunia mereka.
“Bagi orang nampak, buka mata. Pencapaian akademik itu memang penting tetapi kemahiran itu lagi penting sebab anak-anak disleksia ini, dia ada pelbagai kemahiran.
"Jadi jika dikenal pasti lebih awal, maka anak-anak disleksia ini dapat diberikan pilihan dan peluang.
"Tanpa kesedaran ibu bapa, anak-anak disleksia 'terseksa' sebenarnya," jelasnya.
Pameran seni visual "Denaisutera-Projek Cerah Hati Karyawan Remaja Disleksia" di Muzium dan Galeri Tuanku Fuziah Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang akan berlangsung sehingga 31 Januari depan dan terbuka untuk kunjungan orang ramai.
Ia dijayakan atas usaha Pengarah MGTF Hasnul Jamal Saidon, ketua kurator pameran Afzanizam Mohd Ali, ko-kurator Dr Zuriawati Ahmad Zainal, Dr Tetriana Ahmed Fauzi, Nor Azlina Mohamed Khalid dan Mohd Allif Ikrami Mutti serta dibantu sukarelawan Persatuan Disleksia Malaysia Cawangan Utara Sungai Petani Cikgu Bibi, Cikgu Shibly, Nor Laila dan Muhamad Hafiz.