mk-logo
Berita
Ismail Sabri: ROS boleh tentukan usul tambahan sah atau tidak

PAU 2022 | Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berpendapat kesahihan langkah parti itu membawa dan menerima usul agar tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti boleh ditentukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bercakap kepada media selepas berakhirnya persidangan agung Umno (PAU) di Kuala Lumpur hari ini, bekas perdana menteri itu berkata, ada ahli parti yang memiliki pandangan berbeza dalam isu tersebut.

Dia juga berkata, mana-mana ahli parti boleh merujuk perkara tersebut kepada ROS bagi mendapatkan pengesahan berhubung status usul tambahan berkenaan.

"Dari segi perundangan, ada beberapa pandangan yang berbeza, ada yang kata okay kerana diputuskan sewaktu perhimpunan agung kerana ia merupakan tempat tertinggi di dalam parti dari untuk membuat sebarang keputusan.

"Hal ini kerana pandangan itu dibenarkan pengerusi.

"Ada juga pandangan yang berbeza yang mengatakan dari segi PAU ini, walaupun ianya merupakan satu tempat yang tertinggi dalam parti, boleh membuat sebarang keputusan, tetapi ianya mesti tertakluk kepada perlembagaan parti," katanya dalam sidang media selepas PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kua.

Ditanya sama ada dia sendiri akan membawa perkara itu kepada ROS ataupun menghantar notis bantahan, Ismail Sabri menafikannya.

"Tidak... saya hanya sebut ada dua pandangan yang berbeza.

"Sesiapa saja - ahli parti boleh, yang ada kepentingan dalam parti, sesiapa pun - boleh untuk mendapat pandangan daripada ROS," katanya lagi.

Perwakilan Umno hari ini meluluskan usul agar tiada pertandingan dijalankan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu kali ini.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, turut mengesahkan usul berkenaan diterima perwakilan.

Katanya undian dijalankan melalui kiraan tangan dan perwakilan yang berdiri sebagai menyatakan sokongan.

Menurut sumber dalaman pula, usul tersebut diterima “dengan majoriti besar”.

Ismail yang juga ahli parlimen Bera berkata Fasal 8.1 Perlembagaan Umno memperuntukkan bahawa PAU merupakan kuasa tertinggi dalam parti bagi menentukan perjalanan parti, tetapi tertakluk kepada perlembagaan Umno.

"Dalam perlembagaan dari segi memilih jawatan, ianya hendaklah dibuat secara pemilihan, tiga tahun sekali ataupun penangguhan seterusnya dilaksanakan di peringkat bahagian, itu di dalam perlembagaan," jelasnya lagi.

Sementara itu veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat tindakan menyekat jawatan utama dipertandingkan akan menakutkan golongan muda menyertai parti itu.

Tengku Razaleigh ataupun lebih dikenali sebagai Ku Li yakin perpecahan parti tidak akan berlaku jika pemilihan Umno diadakan.

"Ini menakutkan orang muda. Orang muda tak masuk. Kita nak remajakan Umno kena bawa orang muda masuk.

“Dan orang muda mesti bawa seberapa ramai masuk ikut dia, ini hanya berlaku kalau ada (pertandingan).

"Takkan tak boleh nasihat, orang Umno takkan berpecah. Saya lawan Dr Mahathir Mohamad dulu hebatlah, tak pecah pun Umno.

"Pemilihan parti penting nak ajak orang ramai dari luar Umno kuatkan parti Melayu untuk bawa masuk Umno kalau sekat sana, sekat sini, parti lain ada lagi," kata bekas ahli parlimen Gua Musang itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS