Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Hasan minta ahli Umno beri peluang parti teroka dinamik politik semasa

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan hari ini menyeru ahli partinya untuk memberi peluang kepada parti itu meneroka dinamik politik baru.

Dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2022, Mohamad berkata kelangsungan parti adalah keutamaan kepada kepimpinan Umno dan mereka akan mula mempersiapkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Saya mohon dan saya minta semua ahli Umno, bagi parti peluang peluang untuk menerokai dinamik politik semasa, untuk kita pastikan supaya survival parti ni jadi keutamaan kita.

"Apa dilakukan pucuk pimpinan parti semata-mata memastikan kita memula langkah hadapi PRU ke-16. Itu penting. Jadi bagi peluang kita mengurus parti, orak langkah perlahan-lahan," katanya.

Difahamkan, Mohamad bercakap dalam konteks hala tuju politik baru Umno yang kini membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH), seteru politiknya sebelum ini.

Mohamad mengingatkan perwakilan perhimpunan agun Umno bahawa parti mereka dikalahkan dalam PRU baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, mereka diselamatkan dengan izin Allah untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan walaupun BN hanya berjaya memperoleh 30 kerusi parlimen.

"Ini adalah kehendak Allah. Satu lagi parti yang memenangi lebih banyak kerusi daripada kita tidak mempunyai 'rezeki' untuk membentuk kerajaan," katanya merujuk kepada Perikatan Nasional (PN).

"Semua parti lain di negara ini telah bekerjasama antara satu sama lain. Hanya kita (Umno dan PH) yang tidak pernah melakukannya sebelum ini. Jadi, sekarang kita cuba dan lihat bagaimana keadaannya.

"Seperti apa yang Ketua Pemuda Umno (Asyraf Wajdi Dusuki) sebutkan tadi, kita hanya masuk kerjasama, kita tidak sertai mereka. Kita hanya duduk bersama menguruskan negara," katanya lagi.

Dalam ucapannya, Mohamad, yang juga menteri pertahanan, menyatakan bahawa dia akan cuba mengembalikan sokongan anggota tentera kepada Umno, terutama untuk enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menurut ahli parlimen Rembau itu, dia bertuah kerana mendapat sokongan ramai pengundi tentera dalam PRU baru-baru ini, yang telah membantunya untuk mendapatkan kerusi parlimen itu.

Bagaimanapun, katanya, calon Umno lain di kawasan yang mempunyai bilangan pengundi tentera yang tinggi tidak begitu bernasib baik.

“Jadi saya akan menjadikan keutamaan saya untuk melawat semua kawasan yang terdapat kem tentera.

“Insya-Allah, saya akan mula membuat lawatan di kem tentera di enam negeri - Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Negeri-negeri ini mempunyai banyak undi tentera dan saya akan turun ke sana, dan saya akan pastikan saya melawat mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS