Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya tidak berniat untuk menggulingkan Hajiji Noor sebagai ketua menteri Khamis lalu apabila ia memanggil sidang media khas.
Dalam temu bual dengan Malaysiakini pada Khamis (12 Jan), Shafie berkata dia berhasrat untuk mengadakan sidang media untuk mempersoalkan kesahihan Hajiji sebagai ketua menteri berdasarkan undang-undang.
Shafie berhujah, berdasarkan keperluan Perkara 6(7) perlembagaan Sabah, hanya pemimpin parti yang menang pilihan raya mempunyai legitimasi untuk menjadi ketua menteri.
Ketika Hajiji keluar daripada Bersatu bulan lepas, Shafie berkata Warisan berpendirian bahawa Perkara 6(7) tidak lagi dipenuhi.
"Ia adalah sebahagian daripada kesahihan (jawatan ketua menteri). (Saya ingin bercakap) bagaimana perkara itu tidak dipenuhi.
"Saya fikir kita mesti menyelesaikannya (pada masa itu)," katanya.
Bukan 'rampasan kuasa'
Sidang media khas itu sepatutnya berlangsung pada 4.30 petang di Hotel The Pacific Sutera di Kota Kinabalu pada 5 Jan tetapi ia tertangguh dan akhirnya dibatalkan pada 6.30 petang.
Shafie tidak menjelaskan mengapa Warisan membatalkan sidang akhbar itu tetapi keputusannya adalah untuk tangguh seketika.
Keesokan harinya, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin mengadakan sidang media sendiri untuk mengumumkan partinya menarik balik sokongan terhadap Hajiji.
Bagaimanapun, itu tidak mencukupi untuk menjatuhkan Hajiji kerana lima Adun BN enggan mengendahkan arahan Bung Moktar.
Selain itu, tujuh Adun Pakatan Harapan (PH)n berikrar menyokong Hajiji, dan seterusnya menjamin majoriti buat Hajiji.
Shafie, yang mengetuai 19 Adun Warisan di bangku pembangkang, menjelaskan sidang medianya akhirnya diadakan pada 7 Jan hanya selepas Bung Moktar membuat pengumuman dan menegaskan Warisan dan BN tidak bersekongkol.
"Itu persepsi yang salah. Hajiji meletakkan jawatan dalam partinya dan Bung Moktar menarik diri daripada kerajaan. Adakah itu rampasan kuasa?
"Kerajaan runtuh (pada satu ketika). 'Perkahwinan' dibatalkan. Kenapa perlu (Warisan) dipersalahkan? Itu bukan caranya," katanya.
Fokus pada undang-undang antilompat parti
Kini setelah situasi di Sabah kelihatan reda, Shafie menolak cadangan agar Warisan boleh mencabar kesahihan Hajiji di mahkamah kerana pilihan raya negeri akan datang perlu diadakan menjelang 2025.
Sebaliknya, Shafie berkata, Warisan akan menumpukan usahanya untuk meluluskan undang-undang antilompat parti di Sabah untuk menggalakkan kestabilan politik.
"Saya mengetahui cadangan untuk membawa perkara ini ke mahkamah. Saya tahu mahkamah boleh memutuskan tetapi ia akan mengambil masa dua atau tiga tahun. Pada masa itu pilihan raya akan diadakan juga.
"Sudah tiba masanya untuk kita menghentikan semua perkara karut ini dan mewujudkan undang-undang antilompat parti di Sabah," kata Shafie.
Shafie yakin pentadbiran Hajiji akan cenderung untuk menggubal undang-undang berkenaan kerana Gabungan Rakyat Sabah adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan yang menyokong undang-undang tersebut.