story images
story images
mk-logo
Berita
Zahid: Usul tiada pertandingan sah, patuhi perlembagaan Umno

PAU 2022 | Usul agar tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi Umno adalah sah dan berlandaskan perlembagaan parti, tegas Presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita merasakan bahawa usul tambahan iaitu perkara 8 daripada usul ucapan cadangan dasar presiden itu adalah sepenuhnya mengikuti beberapa fasal yang terdapat dalam Perlembagaan.

"Kami berdua khususnya, tidak mengikuti bagaimanakah jurucakap pencadang itu dan penyokong melakukannya.

"Tetapi yakinlah daripada penelitian terhadap ucapan-ucapan jurucakap memperlihatkan bahawa parti dapat berjalan dengan baik dan untuk jawatan-jawatan naib presiden ke bawah, ianya terbuka seperti biasa,” katanya pada sidang akhbar selepas penggulungan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Bagan Datuk itu juga berkata rasional terhadap perkara itu juga telah diperincikan oleh kesemua perwakilan yang membahaskan usul terbabit.

"Saya juga turut meneliti ucapan dasar ketua-ketua sayap dan juga jurucakap negeri-negeri.

“Maka keputusan tadi adalah keputusan muktamad sesuai dengan apa yang saya nyatakan dalam wawancara atau kenyataan media bahawa sesungguhnya kami berdua menyerahkan soal ini kepada perwakilan.

"Perwakilan yang diabsahkan adalah perwakilan di dalam Perhimpunan Agung Umno dan perkara ini telah dilaksanakan mengkut fasal-fasal dalam Perlembagaan parti dan peraturan parti," katanya.

Jelas Zahid lagi, tidak timbul isu dia takut untuk bertanding jawatan tertinggi parti itu kerana apa yang diusulkan itu adalah ketetapan yang dibuat oleh akar umbi.

"Mereka adalah mewakili akar umbi, jadi akar umbilah yang mahu supaya perpaduan dan penyatuan parti itu diutamakan," tambahnya.

Perwakilan Umno hari ini meluluskan usul agar tiada pertandingan dijalankan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu kali ini.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, turut mengesahkan usul berkenaan diterima perwakilan.

Katanya undian dijalankan melalui kiraan tangan dan perwakilan yang berdiri sebagai menyatakan sokongan.

Menurut sumber dalaman pula, usul tersebut diterima “dengan majoriti besar”.

"Lulus juga," kata Khaled kepada Malaysiakini.

Ditanya mengenai proses pengundian, Khaled berkata perwakilan berdiri dan mengangkat tangan sebagai tanda sokongan.

"Berdiri dan angkat tangan," tambahnya lagi.

Segelintir kurang senang

Semalam, perwakilan Negeri Sembilan mengemukakan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mohd Shukei Samsudin dari Rembau mengemukakan usul tambahan berkenaan ketika berucap bagi membahaskan ucapan dasar presiden petang tadi.

Bagaimanapun cadangan berkenaan mendapat reaksi berbeza perwakilan yang hadir.

Ketika ada segelintir perwakilan dikatakan kurang senang dengan usul berkenaan, sebahagian besar perwakilan yang lain pula bangun menyokong usul terbabit.

Perwakilan Johor dan Wilayah Persekutuan yang membahas usul dasar presiden bagaimanapun menolak usul supaya dua jawatan utama tidak dipertandingkan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, berkata usul berkenaan disokong hampir kesemua perwakilan yang hadir.

Katanya, semua usul yang dikemukakan pada persidangan kali ini telah diluluskan oleh perwakilan Umno.

"Alhamdulillah setelah dicadang dan dibahas, semua usul yang dibawa oleh perwakilan-perwakilan Umno dari negeri-negeri di seluruh Malaysia termasuk usul tambahan (supaya jawatan presiden dan timbalan presiden dikekalkan dan tidak dicabar pada pemilihan tahun ini) telah diterima dan disokong oleh hampir semua perwakilan dalam Dewan Merdeka petang ini," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Laporan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS