Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi saran Tian Chua rayu Lembaga Rayuan, bukan terus pada Anwar

Timbalan Presiden, PKR Rafizi Ramli menasihatkan bekas naib presiden parti itu, Tian Chua agar merayu pemecatannya kepada Lembaga Rayuan dan bukannya terus kepada Presiden Anwar Ibrahim.

“Saya cadangkan kepada Tian Chua kalau nak rayu belas ihsan daripada presiden, lebih baik melalui proses lembaga rayuan. Akhirnya keputusan dibuat oleh MPP (majlis pimpinan pusat).

“Lembaga Rayuan akan bentangkan kembali kepada MPP untuk buat keputusan akhir,” katanya dalam sidang media selepas berucap pada Konvensyen PRN Selangor di IDCC Shah Alam, Selangor hari ini.

Rafizi berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan Tian Chua supaya Anwar memaafkannya dengan menggunakan kuasa sebagai presiden, seperti dilaporkan media.

Keahlian Tian Chua ditamatkan pada minggu lalu susulan tindakannya bertanding sebagai calon bebas dan menentang calon PKR pada PRU15 November lalu.

Menurut Rafizi, tindakan meminta ‘belas ihsan’ Anwar bakal memberikan tanggapan buruk dan bahawa parti itu berat sebelah kepada anggota lain yang turut dipecat.

“Kita bagi signal tak baik kepada anggota lain (yang dipecat), kita (akan) ada double standard kalau orang ini (Tian Chua buat sedemikian), tak perlu itu (rayuan kepada presiden).

(Tapi) terpulang nak rayu terus kepada presiden terus, itu hak dia.

“Kena adil kepada semua dan proses itu melalui lembaga rayuan. Rayuan di lembaga rayuan dan rayuan lain terpulang pada dia,” katanya.

Sementara itu, dalam isu yang berasingan, Rafizi berkata PKR tidak akan memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang mengaitkan parti itu dengan agenda Yahudi dan Kristian.

Sebaliknya, dia berkata tumpuan PH pada masa ini adalah menguruskan ekonomi negara dan persediaan menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung dalam beberapa bulan lagi.

"Saya tidak mahu bawa keutamaan parti dan pimpinan dalam proses pilihan raya lepas walaupun boleh (fail petisyen) terhadap ucapan perkauman Muhyiddin mengenai kempen kristian dan Yahudi yang memberi ruang banyak polemik perkauman agama," katanya.

Muhyiddin membuat dakwaan itu semasa majlis Ceramah Mega PN Best di Parit Jawa, Johor pada 16 November.

Pada 18 November, Rafizi memberi amaran kepada Muhyiddin bahawa dakwaan itu boleh menyebabkan bekas perdana menteri itu terpaksa mengosongkan kerusi parlimen Pagoh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS