Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ khuatir 'Langkah Dewan Merdeka' sekat pertandingan dalam parti

PAU 2022 | Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mendakwa ada cubaan untuk membawa masuk 'pengundi hantu' hari ini bagi meluluskan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.

Menyatakan hal itu melalui media sosial, Khairy berkata, dia difahamkan tag kedudukan perwakilan yang sebelum ini diletakkan di kerusi Dewan Merdeka telah ditanggalkan bagi menempatkan 'pengundi hantu' terbabit.

Keadaan itu, dakwa Khairy, berkemungkinan besar untuk meluluskan usul kelapan yang dijadual berlangsung pada jam tiga petang ini.

"Petang ini akan ada undian (untuk usul) dan saya difahamkan akan dilulus.

"Malah, ada beberapa tag di kerusi dalam dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan tanggal supaya perwakilan-perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak dan lulus usul supaya nombor satu dan dua ini tidak dipertandingkan.

"Saya merayu kepada perwakilan yang ada di dalam dewan kita jangan biarkan usul ini lulus terutamanya usul tiada pertandingan bagi jawatan nombor satu dan dua parti.

"Kita bagi perwakilan di bahagian kebebasan untuk memilih pucuk pimpinan parti yang akan datang," katanya dalam video yang dimuat naik di laman TikToknya, hari ini.

Semalam, perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin mengemukakan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi melibatkan presiden Umno dan timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Umno anggap Khairy fitnah

Usul berkenaan telah mendapat sokongan daripada Umno Terengganu, Selangor, Perwakilan Wanita dan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, bekas ahli Parlimen Rembau itu mahu usaha yang disifatkan sebagai 'Langkah Dewan Merdeka' itu perlu dihentikan oleh para perwakilan.

"Jadi sangat penting perwakilan dalam Umno jangan melakukan Langkah Dewan Merdeka untuk bunuh demokrasi dan menidakan suara perwakilan di bahagian akar umbi untuk menentukan masa depan parti kita untuk memilih apa boleh dan siapa layak menerajui parti kita," tambah Khairy.

Tambah bekas menteri kesihatan itu lagi, usul kelapan itu juga agak pelik apabila ianya dibawa oleh perwakilan Negeri Sembilam sendiri.

"Seperti mana yang dijangka, satu usul dibentang oleh pembahas Negeri Sembilan, dia sebenarnya dari Rembau.

"Orang Rembau tahu siapa, saya rasa pelik sebab orang Rembau yang bawa usul ini. Pelik sebab timbalan presiden ialah ketua bahagian Rembau.

"Kalau nak bawa usul tambahan pun cover-lah sikit, apa jadi pada Mohamad Hassan?" soal Khairy.

Mohamad Hasan

Khairy juga turut memuji tentangan yang diutarakan oleh perwakilan Johor dan Wilayah Persekutuan terhadap usul kelapan itu.

Sementara itu Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menegaskan Khairy tidak wajar membuat tuduhan sebegitu.

“Dia tak boleh buat dakwaan macam tu saja, sebaliknya dia kena ada buktilah,” katanya ringkas.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, turut menegaskan dakwaan dibuat Khairy adalah fitnah dan tiada sebarang perwakilan import dibawa masuk ke Dewan Merdeka.

"Saya ada dalam Dewan Merdeka sekarang, tidak ada perwakilan import seperti dituduh atau difitnah Khairy.

"Khairy pastinya tahu, setiap perwakilan di dalam Dewan Merdeka yang mewakili bahagian masing-masing kenal sesama sendiri yang duduk di barisan kerusi mereka atau siapa yang duduk di sebelah mereka.

"Jika ada orang yang mereka tidak kenal atau tidak sepatutnya berada di situ, mereka akan tahu dan pemeriksa-pemeriksa pas pun akan tahu," tegasnya.

Isham Jalil

Justeru, Isham menyarankan Khairy datang sendiri ke dewan Merdeka bagi membuktikan dakwaannya tersebut.

"Jika tidak, saya harap Khairy dapat meminta maaf kepada semua perwakilan di sini kerana telah menuduh mereka diimport.

"Dan perlu minta maaf kepada pemeriksa-pemeriksa pas dan Skuad Sabil Pemuda Umno kerana telah menfitnah mereka tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Fitnah itu lebih teruk dari membunuh," tambahnya.

  • Laporan oleh Shakira Buang, Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS