PAU 2022 | Mengakui kalah teruk dalam PRU tahun lalu, Umno Kedah hari ini merayu agar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dapat membantu mereka secara lebih dekat.
Pembahas yang mewakili Umno Kedah Nor Saidi Nanyan berkata jika diibaratkan sebagai perlawanan bola, kekalahan teruk Umno-BN dalam PRU ke-15 lalu bolehlah dianggap sebagai 'rekod dunia'.
Katanya prestasi Umno pada PRU berkenaan adalah menyedihkan apabila kalah di semua 15 kerusi parlimen Kedah.
Pun begitu kata Nor Saidi, Umno Kedah berazam untuk bangkit semula terutama bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
"Dulu kami ada Tok Det dan Datuk Azeez," katanya merujuk kepada bekas ahli parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid dan bekas ahli parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim. "La ni (sekarang) Umno Kedah sudah tidak ada seiapa lagi (wakil) di Putrajaya.
"Besar harapan kami agar presiden sudi menjadi bapa angkat bagi Umno Kedah," katanya.
Dalam perbahasan sama Nor Saidi turut menyentuh mengenai usaha 'pembersihan' parti daripada kumpulan yang tidak sehaluan dengan perjuangan mereka.
Katanya dalam jutaan ahli Umno masih ada antara mereka menjadi gunting dalam lipatan atau api dalam sekam dan pembelot
"Apakah kita hendak terus simpan dan kekalkan mereka sebagai ahli parti?" katanya.
Nor Saidi juga memberitahu selepas keputusan PRU ke-14 pada 2018 Umno ada proses pemutihan dalam parti namun sesudah itu tiada lagi langkah sedemikian dibuat sekarang.
Bahkan dakwa pemangku ketua Umno Langkawi tersebut surat-surat cadangan daripada bahagian parti untuk melaksanakan pemutihan tersebut menjadi "sepi tanpa berita."
Apabila PRU ke-15 diadakan baru-baru ini, kata Nor Saidi, menampakkan ramai lagi "pembelot" dalam kalangan ahli Umno dan ia tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan.
"Oleh itu Umno Kedah mengusulkan tindakan pemutihan dilakukan segera.
"Apa guna jumlah (ahli) ramai tapi tak setia? Lebih baik sedikit (tetapi) tetap setia tidak berpaling tadah," katanya.
Laporan oleh Shakira Buang, Haspaizi Zain, Hariz Mohd dan Low Choon Chyuan.