Paling Popular
Terkini

CATATAN EDITOR: Atas permintaan keluarga, kenyataan satu sumber ditarik balik dalam laporan ini.

Keciciran pelajar daripada sudut akademik akibat masalah pembelajaran khusus seperti autisme, sindrom down, lembam dan disleksia dikatakan antaranya berpunca daripada sistem pendidikan negara yang gagal memenuhi keperluan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Selain itu, stigma masyarakat serta kekurangan kesedaran mengenai masalah pembelajaran khusus daripada pihak keluarga, terutamanya ibu bapa juga memburukkan lagi keadaan.

Untuk rekod, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada amanat tahun baru 2023 berkata pihaknya "sentiasa mencari jalan penyelesaian ke arah sifar keciciran” untuk anak semua bangsa di negara ini.


BACA BERKAITAN: Keciciran: Apa nasib setengah juta pelajar disleksia Malaysia


Pameran seni visual "Denaisutera-Projek Cerah Hati Karyawan Remaja Disleksia" di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM) melibatkan enam karyawan remaja yang menyajikan pelbagai bentuk karya seni visual berupa medium lukisan, pewarnaan, kolaj, objek model dan tanah liat.

Muhammad Uwais dan adiknya Yousef Mohd Hazril Munir @ Umar, diapit ketua kurator Afzanizam Mohd Ali dan Pengarah MGTF USM Hasnul J Saidon.

Pameran ini turut menampilkan karya pelukis paling muda Aisya Auliya Mohd Azam, 11 tahun.

Berbalik pada persoalan keciciran pelajar disleksia, ibu Aisya, Hanis Aili Azra Abd Razak berkongsi cabaran yang dihadapi anaknya di sekolah.

Pada awalnya, dia tidak tahu anaknya berkecenderungan disleksia sehinggalah dia menerima panggilan daripada seorang guru di sekolah.

"Dia mengatakan Aisya ni sangat lembap dan bodoh. Jadi saya kata kenapa jadi macam ni," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.

Karya lukisan cat air dan kolaj oleh Aisya Auliya, 11 tahun.

Hanis kemudian membawa Aisya melakukan pemeriksaan perubatan di sebuah klinik di Kedah.

"Doktor tu bagi arahan Aisya ke depan, dia gerak ke belakang. Ke kiri, Aisya gerak ke kanan.

"Masa tu saya kenal Aisya ni macam anak yang nampak macam malas. Saya terpaksa berulang kali cakap arahan yang sama. Saya perasan bila saya suruh pakai kasut kanan, dia pakai kasut yang kiri. Tapi masa tu saya tidak terdetik lagi kata dia disleksia.

"Jadi saya asyik salahkan dialah waktu itu. Kenapa tak faham, kenapa tak faham? Jadi sampailah ke klinik tu. Bila doktor tu dia bawa keluar satu buku dan buat ujian berpandukan buku itu, barulah saya lebih jelas lagi.

Karya Aisya dengan medium tanah liat.

"Doktor kata, Aisya cuba eja ayah, dia tak boleh. Disuruh tulis bola, tapi huruf ‘b’ tu terbalik. Ada beberapa perkataan tu bila ditulis ada antara huruf tu terbalik," katanya.

Hanis juga mengakui pada awalnya dia menduga masalah keciciran Aisya mungkin kerana dia belajar di sekolah Cina menyebabkan dia menghadapi masalah ejaan huruf rumi.

Ini berubah apabila Hanis bertemu Cikgu Nor Bibi Maslina Jusoh daripada Persatuan Disleksia Malaysia Cawangan Utara Sungai Petani yang juga sarjana pendidikan khas di Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Tapi kata Cikgu Bibi tulisan Cina tu banyak membantu Aisya sebab ia berasaskan simbol," ujarnya.

Kefahaman mengenai disleksia

Dari sudut perubatan, masalah asas disleksia adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi dan mungkin mengalami kesukaran membaca, menulis, memahami, mengeja dan mengira.

Menurut portal Myhealth Kementerian Kesihatan dianggarkan empat ke lapan peratus pelajar sekolah Malaysia mempunyai masalah disleksia.

Dalam pada itu, Hanis berkata selepas mendapat kefahaman mengenai disleksia dia kemudian memastikan supaya guru-guru Aisya di sekolah sedar kondisi kesihatan anaknya itu.

"Sebab ada cikgu yang baru masuk ni. Dia akan mengadu - Aisya awak ni malas lah, you ni slow lah, tulis lambat.

"Tapi bila cikgu tu tahu dia ada disleksia, dia bertenang, bagi dia ruang," katanya.

Aisya, ibunya Hanis bersama Pengarah MGTF Hasnul J Saidon.

Menurut Hanis, dia pernah berhasrat menghantar Aisya ke sekolah biasa kerana ada kelas pemulihan khas untuk kanak-kanak OKU pembelajaran.

Bagaimanapun, dia membatalkan niat itu selepas mendapat pandangan daripada seorang kenalan yang juga guru pelajar keperluan khas.

"Dia kata tindakan itu kurang bijak. Sebab mungkin pelajar seperti Aisya yang ada mild disleksia dihantar masuk ke kelas pemulihan khas di sekolah biasa, mungkin dia akan jadi lebih teruk.

"Sebab kelas khas ini dia bercampur. Dia bercampur dengan budak autism, lembam, sindrom down.

Disleksia tertabir

"Katanya teruskan belajar di sekolah Cina, fokus untuk dapatkan kemahiran hidup berbanding untuk dapatkan A dalam semua subjek," jelas Hanis.

Lantaran itu, Hanis berkata dia berbesar hati dengan inisiatif pihak universiti dan persatuan disleksia kerana membuka jalan kepada anak-anak yang keciciran akademik ini untuk menceburi bidang seni visual.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah USM Prof Hasnul Jamal Saidon (gambar, bawah) berkata dia memberikan ruang pameran kepada remaja disleksia selepas didekati Persatuan Disleksia Malaysia Cawangan Utara di Sungai Petani.

Jelasnya, salah seorang pakar disleksia memberitahunya terdapat sebuah penjara di Amerika Syarikat dengan diagnosis lebih 50 peratus penghuninya disleksia.

"Ini menunjukkan orang-orang disleksia ini jika tidak ada intervensi awal, mereka ini akan menjadi kerugian kepada negara kerana tak dilihat bahawa mereka ini boleh berfungsi.

"Disleksia ini seolah-olah tertabir. Kalau autusime, lembam, down sindrome dia nampak boleh nampak secara fizikal. Jadi kita anggap budak ni saja mengada-ngada ataupun saja buat pasal atau saja buat hal.

"Jadi saya fikir, saya boleh buat sesuatu atas kapasiti saya secara peribadi, atas kapasiti sebagai ahli akademik dan atas kapasiti sebagai pengarah MGTF.

"Untuk mereka ini, seni visual menjadi satu denai - pathway - yang selamat," katanya kepada Malaysiakini ketika wawancara di Pulau Pinang.

Pengarah muzium USM itu berkata selaku seorang seniman, ziarah ke rumah para karyawan remaja disleksia ini merupakan suatu pengalaman yang menyegarkan.

"Sebab mereka menerima saya ini seolah-olah saya penyelamat, walhal bukan. Jadi saya seganlah. Kita bukan penyelamat.

"Kenapa mereka menengok kita begitu? Mungkin sebab selama ini (nasib mereka) tidak begitu diendahkan ker? Ini hipotesis sajalah.

"Atau orang-orang yang ada pangkat tak pedulipun. Tak tahulah. Kita praktikal, instrumentalis. Kita ambil data, buat rancangan. Tapi mereka timbulkan apa makna perkara ini kepada mereka," katanya menceritakan sambutan meriah yang diterima daripada keluarga dan sukarelawan Persatuan Disleksia Malaysia.

Tahap kreativiti disleksia

Menurut Hasnul, sebelum pameran dibuat dia menganjurkan beberapa siri bengkel kreativiti dengan bantuan pakar disleksia dan ahli psikologi.

"Tujuan bengkel untuk bagi landasan dari segi teori. Aktiviti interaktif untuk buat ujian kreativiti kendiri.

"Hasilnya, daya kreativiti mereka (karyawan remaja disleksia) memang tinggi. Kalau mengikut teori kreativiti mereka ini bukan tidak normal-lah.

"Mereka ini sangat kreatif malah orang biasa tidak mencapai tahap mereka," jelasnya lagi.

Hasnul berkata pemurnian anak-anak dan remaja disleksia ini merupakan projek perintis dan mungkin boleh direplikasikan di tempat-tempat lain.

Pameran seni visual "Denaisutera-Projek Cerah Hati Karyawan Remaja Disleksia" di Muzium dan Galeri Tuanku Fuziah Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang akan berlangsung sehingga 31 Januari depan dan terbuka untuk kunjungan orang ramai.

Ia dijayakan atas usaha ketua kurator pameran Afzanizam Mohd Ali, ko-kurator Dr Zuriawati Ahmad Zainal, Dr Tetriana Ahmed Fauzi, Nor Azlina Mohamed Khalid dan Mohd Allif Ikrami Mutti serta dibantu sukarelawan Persatuan Disleksia Malaysia cawangan Sungai Petani Cikgu Bibi Maslina Jusoh, Cikgu Mohamad Shibly Hassan, Nor Laila Abd Rozak@Razak dan Muhamad Hafiz Mohamed Ali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS