Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kami betul-betul mahu berbincang dari hati ke hati'

PAU 2022 | Umno berharap orang ramai dapat memahami mengapa parti itu membuat keputusan mengadakan perbahasan secara tutup pada persidangan kali ini.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, berkata apa yang dibincangkan oleh para perwakilan tidak dibenarkan mendapat liputan media secara langsung kerana ia melibatkan isu dalaman.

Katanya, dengan cara itu, semua perwakilan parti dapat berbincang secara terbuka di dalam dewan.

"Kali ini Umno buat mesyuarat dalaman. Jadi, pada pendapat saya, kalau ia dibuat secara terbuka sangat, nanti kita (terpaksa) sekat perwakilan berbincang secara terus terang di dalam dewan.

"Jadi, kali ini perwakilan dapat berbincang secara terus terang dan jika dibuka kepada umum bukan saja media tahu tetapi parti lain pun akan dapat tahu," katanya dalam sidang media sempena di akhir persidangan sesi hari ini di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur, hari ini.

Isham berkata demikian mengulas persoalan yang dibangkitkan media yang tidak mendapat akses liputan bagi perbahasan ucapan dasar presiden parti itu, hari ini.

Terdahulu, media tidak dibenarkan memasuki dewan persidangan, selain tiada siaran secara langsung diberikan kepada media atau pun orang ramai di sepanjang perbahasan ucapan dasar presiden.

Pihak pengurusan hanya menyiarkan ucapan perbahasan secara terpilih dan dipaparkan secara tertunda di laman media.

Tambah Isham, ketika ini Umno berdepan dengan tempoh yang begitu kritikal, selain tiada sebarang peraturan yang menetapkan perbahasan mesti diadakan secara terbuka atau tertutup.

Sebelum ini, katanya, Umno membuka perbahasan kepada orang luar parti termasuk media.

"Tapi macam saya beritahu tadi, ini masa yang kritikal... kami betul-betul mahu berbincang dari hati ke hati," katanya.

  • Laporan oleh Shakira Buang, Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS