Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Lipis tak tahu ada dalam senarai 10 MP sokong Muhyiddin

PAU 2022 | Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad, berkata dia tidak tahu-menahu namanya termasuk dalam senarai salah seorang yang menandatangani surat akuan berkanun (SD) bagi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Menjelaskan keadaan berkenaan, timbalan menteri kerja raya itu memberi alasan, dia tidak begitu mengikuti perkembangan semasa sehingga terlepas maklumat mengenainya.

“Ada nama saya? Saya tak perasan pula ada nama saya. Saya tak pernah tengok berita,” katanya ringkas.

Abdul Rahman ditemui pemberita selepas sesi ucapan dasar presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini mendedahkan nama 10 ahli parlimen BN - termasuk dari Umno - yang menandatangani SD menyokong agar Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri ke-10.

Pendedahan itu dibuat pengerusi BN yang juga timbalan perdana menteri itu ketika berucap pada sesi taklimat khas yang diadakan secara tertutup sempena PAU 2022 pada Rabu.

Abdul Rahman pada masa sama tidak menafikan dia termasuk sebagai salah seorang daripada 10 orang ahli parlimen berkenaan.

“Saya tak nafi, tapi saya tak tahu (ada dalam senarai). Kalau ada pun, apa masalah?” soalnya.

Sementara itu diminta mengulas mengenai ucapan dasar presiden yang didakwa berbaur sindiran kepada individu tertentu, Abdul Rahman menafikannya.

“Bukan sindiran tu. Itu maksudnya presiden menasihati kita dalam Umno ini agar bersatu kembali, itu bukan sindiran. Tafsiran (orang) saja sindiran,” ujarnya.

  • Laporan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS