Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan mahu guling k'jaan Sabah tapi perbetulkan hala tuju - Bung

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin hari ini menafikan tindakan yang diambil sebelum ini bertujuan untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Sebaliknya kata Bung, dia hanya mahu memperbetulkan hala tuju politik di negeri itu.

"Penggulingan dan pembentukan kerajaan adalah lain. Mengguling (kerajaan) ini berniat jahat tetapi tujuan kita ini adalah untuk membetulkan hala tuju politik agar rakyat dan Sabah itu menjadi sebuah negeri yang mampu untuk dibangunkan.

"Sebaliknya, mengguling ini maknanya membinasakan. Jadi, mesti ada definisi berbeza. Jadi, kita tidak pun mengguling, apa yang kita buat adalah untuk menentukan rakyat Sabah itu mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintahan pada ketika ini," katanya kepada pemberita selepas ucapan dasar presiden di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Kata Bung, pergolakan politik di negeri itu tidak akan selesai memandangkan pembentukan kerajaan negeri pada peringkat awal adalah membabitkan Umno dan PN.

"Dan ini menjadi satu persoalan. Jadi tak apa. Orang mahu komen politik, kita main politik," katanya.

Umno Sabah sebelum ini menarik balik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Hajiji.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagaimanapun berjaya mempertahankan kepimpinannya dengan sokongan lima Adun Umno dan tujuh Adun PH.

Hajiji kemudian merombak kabinetnya dengan membawa masuk dua Adun PH, Christina Liew (Api-api), Phoong Jin Zhe (Luyang) dan James.

Bung yang juga timbalan ketua menteri digantikan dengan Shahelmey.

Umno Sabah bagaimanapun tidak mengiktiraf kabinet baru itu dan mendakwa Hajiji Noor “membeli” lima wakil rakyatnya.

Bung Moktar berkata dua “pembelot”, iaitu Adun Tanjung Keramat Shahelmey Yahya dan James Ratib (Sugut) tidak mendapat kebenaran untuk menyertai kabinet Hajiji.

Sementara itu, mengulas tindakan terhadap lima Adun Umno yang didakwa disogok dengan jawatan menteri, timbalan menteri dan kedudukan dalam syarikat berkaitan

kerajaan Bung Mokhtar berkata Umno akan memutuskan sebarang tindakan yang akan dikenakan kepada mereka.

"Ia akan ditentukan oleh parti dan kita tunggu apa yang parti boleh lakukan untuk kelima-lima yang bertindak di luar jangka itu," katanya ringkas.

  • Laporan oleh Shakira Buang, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi & Hariz Mohd


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS