Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas menteri kanan kabinet sebelum ini, Hishammuddin Hussein, membayangkan dia akan menyertai persaingan merebut jawatan dalam parti jika pemilihan diadakan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, dia yang kini tidak memiliki sebarang jawatan kanan dalam Umno enggan mendedahkan rancangan tersebut dengan lebih lanjut.

"Kita tunggu mesyuarat PAU kali ini, dan sekiranya keputusan ada pemilihan, saya sendiri tidak keberatan untuk memikirkan untuk bertanding dalam pemilihan akan datang," katanya.

Ditanya apakah jawatan yang sedang diintainya, anak bekas perdana menteri ketiga Malaysia itu tidak memberikan jawapan yang jelas.

"Kita kena tunggu dulu jika ada pertandingan atau tidak," katanya.

Bagaimanapun untuk rekod Umno memang akan mengadakan pemilihan tidak lama lagi, iaitu sebelum 19 Mei seperti yang dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Pada masa sama muncul desakan daripada pelbagai pihak termasuk dari sayap Umno agar dua jawatan tertinggi parti itu - presiden dan timbalan presiden - tidak dipertandingkan.

Ketika ini, sedang hangat perdebatan di kalangan akar umbi dan pemimpin Umno sama ada dua jawatan utama parti itu tidak perlu dipertandingkan atau tidak dalam pemilihan Umno akan datang.

Alasan dan hujah bagi mereka yang menyokong agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan adalah untuk mengelakkan perpecahan dalaman menjelang enam pilihan raya negeri.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan kesediaan untuk dicabar manakala timbalannya Mohamad menyarankan supaya status quo untuk jawatan presiden.

Kedua-dua Zahid dan Mohamad menjadi sebahagian daripada kabinet Anwar Ibrahim.

Setakat ini, hanya bekas Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menyatakan hasrat untuk mencabar Zahid. Pencalonan belum dibuka manakala tarikh pemilihan juga belum diputuskan.

  • Laporan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS