Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kehadiran PM di T'ganu tak disambut pimpinan kerajaan negeri
Diterbitkan:  Jan 12, 2023 11:23 PM
Dikemaskini: 3:25 PM

Pada Disember lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghulurkan "salam perdamaian" kepada kerajaan PN di Kelantan dan Terengganu dengan mengumumkan bantuan sebanyak RM50 juta susulan banjir yang melanda dua negeri itu.

Namun, timbul pertikaian pihak mana yang harus mengendalikan bantuan itu jika ia tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Bantuan itu sebaliknya diuruskan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) iaitu agensi di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).

Dipercayai ia menyebabkan kedatangan Anwar ke Terengganu hari ini tidak disambut kerajaan negeri mahupun wakilnya.

Ia walaupun Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar memang ada di negeri itu hari ini. Dia antara lain hadir di acara mengagihkan bantuan banjir anjuran PN di Besut.

Ditanya berkenaan dakwaan Terengganu dipinggirkan, Samsuri berkata kerajaan persekutuan sepatutnya menghormati Perlembagaan Persekutuan.

"Saya tidak mahu komen soal anak tiri atau tidak, tetapi minta kerajaan persekutuan menghayati semangat dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan dari segi bidang kuasa jadual bersama antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Ahmad Samsuri

Jadual tersebut berkenaan bidang kuasa dan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri, termasuk soal bantuan sosial.

Kata Samsuri, segala perbincangan dan penyelarasan perlu dihormati dalam melaksanakan kuasa berdasarkan jadual itu.

"Kita percaya mereka tidak ingin laksanakan politik sengketa, namun terpulang kepada mereka," katanya lagi.

Begitu juga dengan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob yang berkata kerajaan negeri tidak tahu bagaimana bantuan tersebut akan diagihkan kepada penduduk di negeri itu.

"Kita berpegang pada janji perdana menteri kata nak beri RM50 juta kepada Kelantan dan Terengganu dan sekarang disalurkan kepada JPP negeri Kelantan.

"Jadi kita tak tahu macam mana bantuan itu akan diagih kepada rakyat Kelantan," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan banjir Perikatan Nasional (PN) di Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata kunjungannya ke Terengganu hari ini "bukan untuk mencerca sesiapa" tetapi demi rakyat.

"Saya amat berharap kita dapat menghormati pilihan yang telah dibuat rakyat pada PRU15 yang lalu dan hentikan sentimen politik yang keterlaluan dan merosakkan," katanya.

Kata Anwar, dia berharap dapat bertemu kerajaan Terengganu setelah keadaan politik mereda.

Dia bagaimanapun tidak menyentuh soal dana RM50 juta tidak disalurkan secara terus kepada masing-masing kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun dia berkata telah bertemu dengan ketua-ketua jabatan persekutuan di Terengganu harini dan mengingatkan mereka bahawa setiap negeri perlu dilayan secara setara.

"Saya adalah perdana menteri untuk semua negeri, dan layanan kepada setiap negeri adalah setara dan saksama," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS