Paling Popular
Terkini

PAU 2022 | Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan disandangnya pada pemilihan parti yang akan diadakan nanti.

Asyraf Wajdi berkata langkah tersebut diambil sebagai mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan BN menarik sokongan pengundi muda dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Saya boleh menyatakan secara terus terang seperti saudara Shahril (Hamdan), saya mohon maaf atas kesilapan saya, kegagalan saya memimpin anda semua.

"Saya ambil keputusan untuk tidak lagi mempertahankan jawatan saya," katanya ketika ucapan penggulungan perhimpunan agung Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata dia telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai ketua Pemuda Umno lebih awal, iaitu pada malam BN tewas pada Nov tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, hasrat itu dihalang Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob yang juga perdana menteri.

Dalam ucapannya juga Asyraf Wajdi turut mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak seronok dengan jawatan dalam kerajaan sekarang, sebaliknya memberi fokus penuh kepada usaha memulihkan parti.

"Nak pastikan Umno relevan kita kena pulihkan parti, jangan syok jadi kerajaan," katanya lagi.

Selain Asyraf Wajdi, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda Umno turut mengambil peluang memohon maaf kepada perwakilan di atas kegagalan Umno untuk mencipta kemenangan dalam PRU lalu.

Katanya, sekarang bukan masa untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya perlu memberi fokus kepada usaha untuk memulihkan imej Umno.

Jelasnya, Umno perlu bangkit atas kekuatannya sendiri dan tidak boleh bergantung kepada pihak lain.

"Kita mesti perbetulkan imej kita untuk memenangi kembali kerpecayaan rakyat.

"Kebangkitan Umno perlu melalui Umno sendiri, kebangkitan Umno bukan melalui Pakatan Harapan (PH). Jangan kebangkitan kita melalui jalan singkat," katanya pada sesi penggulungan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS