Paling Popular
Terkini

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Arman Azha Abu Hanifah hari ini menyatakan kesanggupannya untuk bertanding merebut jawatan ketua pemuda parti itu.

Menurutnya dia mahu mengembalikan taring yang digeruni oleh pelbagai pihak pada Pemuda Umno seperti yang pernah dinikmati parti terbabit suatu ketika dulu.

"Betullah tu, memang saya nak bertanding," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod Pemuda Umno kini diketuai Asyraf Wajid Dusuki. Umno akan mengadakan pemilihan seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan parti itu sebelum 19 Mei.

Asalnya pemilihan parti perlu diadakan pada tahun lalu namun Umno mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menangguhkan proses tersebut bagi memberi tumpuan kepada PRU ke-15.

Permintaan tersebut akhirnya dibenarkan oleh ROS.

Arman Azha berkata semua pihak perlu memahami bahawa Umno ialah sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, justeru pertandingan memang terbuka.

Dia yang sebelum ini dilantik menjadi senator turut memetik nama seorang tokoh politik Umno Selangor, Allahyarham Harun Idris, sebagai contoh pemimpin pemuda yang diharapkan.

Harun pernah mengetuai Pemuda Umno Malaysia antara 1971 hingga 1976. Dia juga merupakan bekas menteri besar Selangor.

Kata Arman Azha suatu ketika dulu Pemuda Umno digeruni lawan sebagai sebuah organisasi yang berani mempertahankan parti dan pemimpinnya.

"Apa yang perlu hari ini ialah semangat Datuk Harun itu perlu dikembalikan.

"Semangat perjuangan Datuk Harun itu perlu kita tiupkan dalam Pemuda Umno bagi mengembalikan kegerunan orang ramai kepada parti," katanya.

Pada masa sama Arman Azha menyedari langkahnya itu bergantung kepada penerimaan dan pencalonan daripada ahli parti.

"Sama ada saya dapat menawarkan diri atau tidak, terserah kepada perwakilan (untuk membuat pencalonan).

"Jika mereka menganggap saya layak, saya sentiasa terbuka (untuk menerika pencalonan tersebut)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS