Paling Popular
Terkini

PAU 2022 | Puteri Umno Sabah menggesa parti itu tidak membiarkan lima Adun mereka di negeri terbabit yang menongkah arus berbanding kehendak pemimpin.

Ketuanya Fadilah Sarbi berkata tindakan Adun terbabit memang mengecewakan mereka.

"Bagi saya kalau tak seirama (dengan kepemimpinan negeri)... kalau mahu keluar, keluarlah," katanya semasa berbahas dalam persidangan Puteri Umno Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Lebih mengecewakan, kata Fadilah, lima Adun terbabit bahkan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang dilihat seperti mengajar orang Umno di Sabah.

Katanya, bagi Puteri Umno Sabah, sifir mereka adalah mudah iaitu jangan pernah menggigit tangan yang menyuap nasi ke mulut masing-masing.

Lima Adun terbabit, tambah Fadilah, "bukan sesiapa" dalam Umno sebaliknya sekadar ahli biasa yang diberi peluang demi peluang oleh parti berkenaan sebelum ini.

"Kami mencadangkan agar lima Adun yang terlibat dihadapkan segera ke Lembaga Disiplin Umno. Orang sebegini perlu diajar," katanya.

Kenyataan Fadilah itu merujuk kepada lima wakil rakyat Umno di Dewan Undangan Negeri Sabah yang enggan memberikan sokongan kepada ketua mereka, Bung Moktar Radin, yang menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Hajiji Noor, baru-baru ini.

Sikap menyonsang arus itu ditunjukkan oleh Adun Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya; Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Yusof Yacob (Sindumin) dan Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Keengganan mereka menyaksikan cubaan Bung Moktar mengetepikan Hajiji daripada jawatan ketua menteri gagal.

Sebaliknya Shahelmey dilantik sebagai seorang daripada tiga timbalan ketua menteri dalam rombakan kabinet negeri semalam.

Bung Moktar pula diketepikan daripada kabinet Hajiji.

Fadilan berkata Puteri Umno Sabah akan tetap teguh bersama kepemimpinan Bung Moktar mengetuai parti berkenaan.

Fadilah juga menyampaikan pesanan terbuka kepada lima Adun terbabit: "You’re nothing without party (Kamu tak ada apa-apa tanpa parti)."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS