Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2023: Rafizi rancang kekalkan perbelanjaan pembangunan

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini membayangkan beberapa petunjuk mengenai pembentangan Bajet di parlimen bulan depan dari segi perbelanjaan pembangunan yang berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Dia berkata matlamat kerajaan setakat ini adalah untuk mengekalkan tahap perbelanjaan dan kekal mengikut landasan dengan projek sedia ada sambil mencari jalan untuk mengembangkan projek baru dalam sektor penting.

"Pendekatan kami setakat ini ialah bukan sahaja untuk kita meneruskan semua projek-projek sedia ada, tapi kita mencari ruang untuk menambah lagi projek-projek baru dalam sektor-sektor penting dan utama.

"Cuma cabarannya kalau kita hanya ada jumlah tertentu, bagaimana kita nak memastikan dengan jumlah yang ada itu, kita boleh menambahkan lagi projek-projek baru," kata Rafizi.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan laman web OpenDOSM NextGen di Jabatan Perangkaan Putrajaya hari ini.

Rafizi tidak mendedahkan jumlah khusus dana yang dimaksudkannya sambil menjelaskan ia akan diumumkan semasa pembentangan belanjawan pada sesi parlimen akan datang Februari depan.

Katanya, salah satu cara menangani cabaran mengembangkan projek baru sambil mengekalkan tahap perbelanjaan adalah dengan mendapatkan "nilai terbaik daripada wang" yang kerajaan ada.

"Ada banyak ruang sebenarnya yang kita boleh gunakan untuk memastikan bahawa dengan peruntukan yang sama yang tidak akan membebankan lagi kerajaan kita boleh dapat nilai gandaan (multiplying effect) yang lebih besar dan pada masa sama, kita bagi isyarat yang jelas kepada industri dan ekonomi tentang sektor-sektor penting yang kita akan beri keutamaan," katanya.

Kata Rafizi, kos sesuatu projek bergantung kepada tempoh masa dan pelaksanaan kerana semakin lama sesuatu projek itu ditangguhkan, semakin tinggi kosnya akan meningkat disebabkan pelbagai faktor seperti inflasi.

Berhubung perbelanjaan operasi, dia berkata perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Belanjawan 2023 dijadual dibentangkan pada 24 Feb semasa persidangan pertama Dewan Rakyat Parlimen ke-15.

Awal tahun ini, pentadbiran Ismail Sabri Yaakob telah menjadualkan 28 hari untuk perbahasan Belanjawan 2023. Bagaimanapun, parlimen telah dibubarkan sebelum perbahasan berlangsung.

Selepas kerajaan baru ditabalkan, Dewan Rakyat meluluskan “bajet mini” pada 19 Dis tahun lepas bagi memastikan kelulusan parlimen untuk membayar emolumen perkhidmatan awam pada 1 Jan 2023.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS