Ketika jasadnya berada agak jauh dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, nama Najib Razak tetap meniti di bibir pemimpin parti itu. Itulah yang dapat dilihat pada persidangan Puteri Umno di tengah kota raya hari ini.
Malah, Puteri Umno juga menyamakan bekas perdana menteri itu dengan Hang Tuah.
Menyampaikan ucapan dasarnya Zahida Zarik Khan berkata kegagalan Umno menghargai Najib merupakan punca pengaruh parti berkenaan semakin merosot.
Langkah menghargai pemimpin terbabit, katanya, cuma berlaku selepas Umno "kehilangan" tokoh berkenaan.
"Inilah yang berlaku kepada fenomena Bossku yang sangat difahami oleh lawan tetapi kurang dimanfaatkan oleh kawan, seperti cerita Hang Tuah.
"Apabila susah barulah ramai yang bercakap: alangkah baiknya kalau Hang Tuah masih hidup," katanya.
Najib merupakan perdana menteri ketujuh Malaysia yang gagal mengemudi partinya meneruskan kemenangan dalam PRU. Di bawah kepemimpinan anak bekas perdana menteri kedua itu Umno-BN gagal mendapat majoriti di parlimen buat pertama kali dan menyaksikan PH menjadi kerajaan.
Dia - yang memasuki PRU ke-14 dengan skandal 1MDB - kemudian didakwa di mahkamah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Jul 2020 mensabitkan Najib atas semua tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.
Najib kini menjalani hukuman 12 tahun penjara selepas rayuannya di ketepikan mahkamah tertinggi negara pada 25 Ogos tahun lalu.
Tak desak presiden turun
Zahida berkata pihak lawan Umno menyedari bahawa Najib adalah 'senjata' yang digeruni, justeru langkah melenyapkan ahli politik terbabit dilaksanakan.
Dia berhujah, walaupun kalah dalam PRU ke-14, Umno-BN masih memenangi pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.
"Senjata kita yang paling berkesan ialah orang yang bergelar "Bossku” dan dialah juga paling ditakuti oleh lawan.
"Hanya bersenjatakan laman Facebooknya, dua perdana menteri tersungkur.
"Masihkah kita ingat setiap kali beliau turun mengadakan road show Barisan Nasional digeruni?" katanya.
Zahida juga berkata pada masa sama Umno tidak cukup pandai mencari keburukan pemimpin lawan, selain gagal membina naratif bagi melakukan pembunuhan karakter dan mencipta fitnah.
"Umno hanyalah kilang melahirkan pemimpin khidmat dan pembangunan. Kita gagal melahirkan penembak tepat, penabur fitnah dan pembunuh karektor mereka satu per satu," katanya.
Dia turut menegur ahli parti kerana gagal mencontohi parti lain dalam usaha mempertahankan ketua masing-masing.
Dalam Umno, katanya, selain musuh di luar, ada pula pihak dalaman yang turut mencari jalan menjatuhkan pemimpin sendiri.
"Lihatlah dalam kalangan mereka, berapa kali mereka kalah pilihan raya tetapi mereka tidak mendesak presiden mereka turun," katanya.