Paling Popular
Terkini

PAU 2022 | Pemuda Umno hari ini mengajak para pemimpin parti itu yang dibebaskan mahkamah selepas didakwa agar berpakat menyaman bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata langkah itu perlu diambil sebagai suatu "pengajaran" buat pihak tertentu, selain menegaskan pendirian Umno.

Menyampaikan ucapan dasar pada persidangan sayap Umno itu di Kuala Lumpur hari ini, Asyraf Wajdi berkata, dalam apa keadaan pun parti itu tidak akan mengalah kepada sebarang kezaliman.

Tindakan undang-undang diambil Thomas, kata Asyraf Wajdi, adalah suatu langkah yang didakwanya terbukti berniat jahat.

"Pemuda Umno ingin mencadangkan agar semua pemimpin Umno yang telah dibebaskan oleh mahkamah agar bersepakat menyaman Tommy Thomas yang terbukti berniat jahat hanya untuk memalukan dan merosakkan reputasi Umno dengan pendakwaan politik terpilih.

"Biar (tindakan menyaman itu) menjadi pengajaran bahawa Melayu-Umno ini bangsa yang tidak pernah tunduk kepada ugutan, tidak mengemis belas kasihan, tidak melutut kepada kezaliman," katanya.

Thomas merupakan peguam kanan di negara ini yang dilantik sebagai peguam negara selepas PH membentuk kerajaan melalui PRU ke-14 yang diadakan pada 2018.

Di bawah kendalian Thomas, Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan undang-undang ke atas sejumlah pemimpin kanan Umno, termasuk bekas presiden parti itu, Najib Razak.

Selain Najib, turut didakwa atas pelbagai tuduhan ialah Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dan bekas ahli parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad.

Kedua-dua mereka sudah dibebaskan daripada pertuduhan masing-masing oleh mahkamah baru-baru ini. Bagaimanapun Najib disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan dan sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Umno bertegas prosiding mahkamah yang dikenakan ke atas pemimpin terbabit bermotifkan politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS