Exco Selangor Teng Chang Kim telah memadamkan satu hantaran di Facebook yang mengkritik usaha ahli Parlimen Permatang Pauh, Fawwaz Mohamad Jan untuk mengekang penjualan arak di sebuah pusat beli-belah.
Mesej yang dipadamkan itu tertera kata-kata "Kalau kamu tak minum tapi tengok pun boleh mabuk, itu masalah kamu, bukan masalah arak. Sia-sia kamu sembahyang"
Dalam catatan Facebook terbarunya, dia menulis bahawa tindakan itu bukan "mengundur tetapi tidak mahu membenarkan orang menangguk ikan di air keruh.”
Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar mendakwa catatan Facebook Teng yang dipadam itu memperlekehkan umat Islam dan solat.
Dalam satu kenyataan semalam, Sukri menuduh Teng meniupkan sentimen agama.
“Isunya ialah penjualan terbuka dan inilah yang kita tentang.
"Malunya negeri Selangor kerana sikap Teng yang celupar, biadap serta memperlekehkan solat.
“Mana pergi exco lain yang beragama Islam dalam kerajaan negeri Selangor yang lain untuk tegur,” soal Shukri.
Dua hari lalu Muhammad Fawwaz mendakwa dia menerima rungutan dan aduan daripada masyarakat Muslim berkaitan penjualan arak di Sunway Carnival Mall.
Katanya, pertemuan dengan pihak pengurusan pusat beli-belah itu dibuat bagi menyampaikan rasa tidak selesa pengunjung dalam kalangan orang Islam.
"Hasil pertemuan kami bertegas membantah sebarang penjualan atau promosi arak secara besar-besaran seperti di ruang legar utama Sunway Carnival Mall.
"Pihak penganjur menyambut baik bantahan tersebut dan akan bertindak untuk menganjurkanya dengan lebih tertutup dalam tempoh seminggu ini,” katanya.