Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
140 ketua bahagian Umno tolak dua jawatan utama dipertandingkan

Seramai 140 ketua Umno bahagian menyatakan solidariti supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang akan diadakan tahun ini.

Wakil mereka, Mohd Shafie Abdullah yang juga ketua Umno Wangsa Maju berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara bagi mengelak perpecahan dalaman terus berlaku.

Oleh itu mereka berharap, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Umno mendengar keputusan yang telah dibuat itu.

"Umno perlu bersatu, tidak perlu pertandingan presiden dan timbalan Presiden kerana selepas ini kita ada enam pilihan raya negeri lagi. 

"Semua 140 ketua bahagian ini sebulat suara menyokong dua jawatan utama Umno tidak perlu dipertandingkan, selain berharap Zahid dapat menerima pandangan kami ini," katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur, lewat malam tadi.

Umno mempunyai 191 bahagian di seluruh negara yang perlu mengadakan pemilihan di semua peringkat bermula dari cawangan hingga Majlis Kerja Tertinggi (MKT), termasuk sayap sebelum 19 Mei tahun ini.

Presiden Umno sebelum ini menyatakan kesediaan beliau untuk dicabar dalam pemilihan parti yang akan diadakan.

Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi isyarat bersedia untuk merebut jawatan berkenaan daripada Zahid.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pada sidang media berkata Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022) tidak akan memutuskan tarikh bagi pemilihan parti yang mesti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata kumpulan ketua Umno bahagian itu juga menuntut keadilan buat bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara.

Mereka menggesa supaya proses keadilan diberikan sepenuhnya kepada Najib khususnya dalam semakan semula hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Mohd Shafie berkata pihaknya tidak meminta kerajaan membebaskan Najib, sebaliknya mahukan bekas presiden Umno itu mendapat keadilan yang sewajarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS