Paling Popular
Terkini

PAU 2022 | Mohamad Hasan berkata, dia tidak ada sebarang isu jika ada mana-mana pihak mahu bertanding dan mencabar dua jawatan tertinggi Umno dalam pemilihan tidak lama lagi.

Menurut timbalan presiden Umno itu, sebagai parti yang mengamalkan demokrasi, proses pertandingan untuk mana-mana jawatan adalah perkara biasa.

Tambahan pula, katanya, Umno bukan lagi mensyaratkan kuota tertentu untuk seseorang calon seperti yang pernah berlaku dalam parti itu suatu ketika dulu.

"Sekarang ini senang saja - ada seorang penyokong dan pencadang, off you go (silakan). Jadi terpulanglah, tepuk dada tanya selera," katanya kepada media di Kuala Lumpur malam tadi.

Pun begitu Mohamad berpendapat dalam keadaan Umno sudah "jatuh terduduk" kesan keputusan PRU ke-15 pada Nov tahun lalu, ada baiknya jawatan utama parti tidak dipertandingkan.

"Kalau boleh dalam keadaan kita dah jatuh terduduk begini, sebaiknya jawatan presiden dan lain-lain tu eloklah menang tanpa bertanding... Itu sebaiknya

"Kalau ada pertandingan sedikit sebanyak ia akan ada perpecahan dalam parti," katanya.

Terrdahulu menteri pertahanan itu hadir di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur untuk merasmikan persidangan tiga sayap Umno malam tadi.

Turut hadir beberapa pemimpin kanan Umno termasuk ketiga-tiga naib presiden, Mahdzir Khalid, Ismail Sabri Yaakob dan Mohamed Khaled Nordin, serta Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Isu pertandingan jawatan Umno menjadi perhatian selepas segelintir ahli parti menunjukkan rasa tidak senang dengan kepemimpinan presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi, khususnya ekoran kerjasama parti itu dengan PH bagi membentuk kerajaan pusat serta beberapa negeri.

Ia mendorong beberapa pihak mencadangkan agar Ahmad Zahid - yang menang tipis sewaktu mempertahankan kerusi Bagan Datuk pada 19 Nov tahun lalu - digantikan.

Semalam Ahmad memberitahu pemilihan parti akan tetap diadakan sebelum 19 Mei iaitu selaras dengan kebenaran diberikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan kepada parti itu.

Semalam juga muncul poster didalangi pihak tertentu yang menunjukkan beberapa pemimpin kanan Umno untuk dicadangkan mengetuai parti terbabit.

Menggunakan tanda pagar #ResetUmno ia menunjukkan Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani sebagai 'presiden' manakala bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin sebagai timbalannya.

Turut dipaparkan ialah bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas ahli parlimen Kepala Batas Reezal Merican Naina Merican.

Kata Mohamad keputusan sama ada mahu jawatan tertinggi Umno dipertandingkan atau tidak terletak kepada ahli parti itu sendiri.

"Kita tak tahulah... terpulang pada kita, terpulang pada sendiri," katanya.

Sementara itu Mohamad juga berkata Umno sebuah parti yang beraliran sederhana justeru perlu kembali kepada keadaan sebegitu.

Katanya Umno enggan menjadi parti beraliran kiri.

"Negara ni dah nak di-hijack oleh orang yang terlampau leftist (kiri), terlampau rightist (kanan)... tak boleh.

"Kita perlu menjadi sederhana untuk Malaysia sebagai sebuah negara. Umno juga begitu.

"Selama ini sejak merdeka dulu pun Umno mengambil jalan sederhana, sebab itu kita perlu memantapkan semula kesederhanaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS