mk-logo
Berita
'Zahid jamin pembersihan total anasir baling batu sembunyi tangan dalam Umno'
Diterbitkan:  Jan 11, 2023 5:54 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan melakukan pembersihan menyeluruh bagi menghapuskan unsur tidak bertanggungjawab dalam parti, dedah ahli majlis tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi.

Ini kata Puad kerana golongan terbabit akan merugikan parti.

"Dalam taklimat hari ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan melakukan pembersihan total supaya Umno bersih daripada anasir baling batu sembunyi tangan.

"Mereka mendatangkan mudarat kepada Umno. Hala tuju baru Umno akan dibentangkan dalam ucapan dasar Presiden Umno Jumaat ini. Justeru pembersihan total Umno amat disokong," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Perhimpunan agung Umno (PAU) akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur antara 11 dan 15 Jan. Parti berasaskan Melayu itu akan mengadakan pemilihan dalaman sebelum 18 Mei, enam bulan dalam PRU15.

Ini PAU pertama Umno sejak Zahid bersetuju bekerjasama dengan bekas musuh politiknya PH, untuk membentuk kerajaan baru selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu mendapat reaksi bercampur-campur dalam Umno, dengan beberapa secara terbuka membantah keputusan yang dibuat oleh presiden mereka. Oleh itu, pemimpin tertentu dijangka cuba mencabar Zahid untuk jawatan presiden.

Mengenai perkembangan lain, Puad berkata tindakan tatatertib mesti diambil terhadap Adun Umno di Sabah kerana tidak mengikut barisan parti.

Adun BN Shahelmey Yahya dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah.

"Umno masih berdepan dengan Adun tidak berdisiplin. Tidak ikut keputusan parti.

"Mereka mesti dipertanggungjawabkan. Umno tidak boleh dijual beli. Kena tegas," kata Puad.

Rombakan kabinet Sabah hari ini menunjukkan formula yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditolak oleh Ketua Menteri Hajiji Noor, katanya yang juga speaker Johor.

Puad mendakwa formula Anwar supaya kabinet Sabah kekal status quo.

"Nampaknya majlis angkat sumpah kabinet baru Sabah diteruskan pagi ini. Bermakna Hajiji menolak formula kerajaan perpaduan oleh Perdana Menteri.

"Formula perdana menteri ialah status quo dan Hajiji kekal KM tanpa ada rombakan kabinet. Tetapi dengan dua Adun PH menyertai kabinet baru bermakna PM merestuinya.

"Maksudnya wujud kerajaan perpaduan tanpa BN. Bola di kaki perdana menteri. Konsep kerajaan perpaduan tambah unik.

"Tidak timbul Umno kalah dan PH menang. Semoga krisis politik Sabah selesai," kata Puad lagi.

Jumaat lalu, Pengerusi BN Sabah dan ketua Umno Bung Moktar Radin mengumumkan BN negeri menarik balik sokongannya kepada Hajiji sebagai ketua menteri.

Bagaimanapun, lima Adun BN tidak mengikut keputusan Bung dan berikrar untuk terus menyokong Hajiji.

Antara wakil rakyat BN itu ialah Shahelmey Yahya (BN-Tanjung Keramat) dan James Ratib (BN-Sugut).

Dalam rombakan kabinet hari ini, Shahelmey dinaikkan pangkat menjadii timbalan ketua menteri, menggantikan Bung yang digugurkan. Sementara itu, James juga salah seorang menteri kabinet Sabah yang baru mengangkat sumpah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS