Paling Popular
Terkini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendapat lampu hijau mahkamah untuk memaksa bekas pembantu penyelidiknya Muhammad Yusoff Rawther mendedahkan mesej antara mereka yang dikaitkan dengan dakwaan dalam kes saman salah laku seksual.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini membenarkan usaha penelitian daripada pihak defendan Anwar untuk mengukuhkan pembelaan terhadap tindakan sivil ke atasnya oleh plaintif Yusoff.

Yusoff menyaman Anwar berhubung dakwaan insiden di rumah presiden PKR di Bukit Segambut pada 2018.

Intipati penyataan pembelaan Pengerusi Harapan Anwar ialah dakwaan bahawa beliau melakukan salah laku seksual terhadap Yusoff adalah "palsu dan rekaan" serta bermotif politik untuk mencemarkan imej politik dan menghalangnya daripada menjadi perdana menteri pada ketika itu.

Semasa prosiding dalam talian petang tadi, pesuruhjaya kehakiman John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee juga mengarahkan Yusoff membayar kos RM1,000 kepada Anwar.

Lee berkata permohonan penemuan itu mempunyai merit kerana dokumen mesej yang dicari adalah perlu untuk kes defendan dalam berdepan saman sivil itu.

"Perintah dari segi kos," pesuruhjaya kehakiman memberitahu peguam Navpreet Singh dan Mahajoth Singh, yang masing-masing bertindak untuk Anwar dan Yusoff.

Lee kemudian menetapkan 13 April untuk pengurusan kes lanjut saman sivil.

Jabatan Peguam Negara tak cukup bukti

Anwar dalam pernyataan pembelaannya berkata tuduhan salah laku seksual terhadap Yusoff itu adalah "palsu dan rekaan" semata-mata.

Yusoff pada 14 Julai 2021 menemukakan saman sivil mengenai dakwaan berlaku salah laku seksual terhadapnya di kediaman ahli politik tersebut empat tahun lepas.

Anwar selaku defendan kemudian memfailkan saman balas terhadap saman dikemukakan Yusoff.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yusoff mendakwa salah laku seksual itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila dia diminta oleh setiausaha sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.

Yusoff, yang meletak jawatan pada 24 Jun 2019, berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar pada 7 Dis 2019

Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS