Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar psikiatri bebas tuduhan sebut perkataan lucah pada pesakit
Diterbitkan:  Jan 11, 2023 4:20 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini melepas dan membebaskan seorang pakar psikiatri atas pertuduhan menyebut perkataan lucah terhadap bekas pesakitnya, empat tahun lepas.

Majistret Nurshahira Abdul Salim membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Dr Gurdeep Singh Narain Singh, 45, di akhir kes pendakwaan.

"Selepas mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan meneliti eksibit-eksibit dikemukakan serta mempertimbangkan dokumen difailkan pendakwaan dan pembelaan, mahkamah dengan ini berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Sehubungan itu, Dr Gurdeep Singh…kamu dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri,” kata Nurshahira.

Dr Gurdeep, yang diwakili peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay, kelihatan tenang semasa mahkamah memberikan keputusan.

Pada 24 Jan 2020, Dr Gurdeep mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan niat untuk mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 26 tahun dengan menyebut perkataan lucah untuk didengari mangsa di sebuah hospital swasta di Kota Damansara pada 4.30 petang, 12 Feb 2019.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai sembilan saksi pendakwaan termasuk mangsa dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula pertengahan 2020.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farhanah Fuad Mohamad Faiz dan turut hadir pada prosiding hari ini peguam pemerhati bagi pihak mangsa, Francis Pereira.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS