Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilihan Umno tetap dilangsungkan sebelum 19 Mei

Perwakilan perhimpunan agung Umno (PAU) tahun ini tidak akan dimaklumkan mengenai tarikh pemilihan parti, tetapi tetap dalam lingkungan enam bulan selepas PRU seperti yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata sebelum ini ROS memberi kebenaran kepada parti itu menangguhkan pemilihan selama enam bulan.

Tarikh itu, katanya, bermula pada hari pembuangan undi PRU ke-15 yang berlangsung pada 19 Nov tahun lalu.

"Tentunya akan ada perbahasan daripada perwakilan yang menyentuh tarikh pemilihan parti.

"Pemilihan hendaklah diadakan sebelum 19 Mei (iaitu) dalam tempoh enam bulan selepas membuang undi pada PRU Dewan Rakyat.

"Segala pemilihan hendaklah diselesaikan sebelum 19 Mei 2023.

"Jadi pengumuman mengenai tarikh pemilihan Umno tidak dibuat semasa PAU," katanya.

Ahmad yang juga timbalan menteri kewangan berkata demikian selepas merasmikan Laman Media PAU 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

Umno sepatutnya mengadakan pemilihan parti pada tahun lalu namun mereka memohon kepada ROS agar ia dapat ditangguhkan.

Akan teliti prestasi PRU

Langkah itu dibuat bagi membolehkan Umno memberi tumpuan penuh kepada persediaan menghadapi PRU ke-15.

Isu pemilihan parti menjadi perhatian yang lebih ramai ekoran langkah pemimpin parti terbabit bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Umum melihat tidak wujud kesepakatan penuh dalam kalangan pemimpin parti dengan sesetengahnya secara terbuka membantah keputusan dibuat presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru dijangkakan ada pemimpin tertentu akan cuba mencabar Ahmad Zahid untuk jawatan tertinggi parti terbabit.

Pada 28 Dis lalu Ahmad Zahid memberi bayangan pemilihan Umno mungkin diadakan lebih awal dari Mei dan menyerakan kepada perwakilan untuk menentukan bila masa yang sesuai.

Sementara itu Ahmad berkata isu persiapan Umno menghadapi pilihan raya di enam negeri akan turut dibincangkan dalam perhimpunan yang bermula pada malam ini.

Mengulas lanjut mengenai fokus Umno pada PAU 2022, Ahmad menjelaskan parti itu memberi tumpuan kepada pelan melangkah ke hadapan selepas menunjukkan prestasi buruk pada PRU ke-15.

"(Misalnya) Apa yang boleh dipelajari daripada PRU ke-15 walaupun Umno menang tujuh pilihan raya kecil (PRK), pilihan raya negeri Johor dan Melaka ini, yang ketika itu semuanya Ahmad Zahid sebagai presiden.

"Kenapa PRU ke-15 kita tak dapat ulangi kejayaan seperti PRK dan PRN itu?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS