Umno belum membuat sebarang keputusan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Sabah yang menyertai kabinet kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Hajiji Mohd Noor.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata isu berkenaan akan dibincang selepas Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022).
"Belum buat sebarang keputusan mengenainya," kata Ahmad pada sidang media di selepas merasmikan Laman Media PAU 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.
"Saya ucapkan selamat berkhidmat buat mereka, (tindakan) itu kita cerita kemudian.
"Kita harap semuanya akan kembali stabil, bab itu (krisis Sabah) kita beri komen kemudian," katanya lagi.
Terdahulu hari ini, Adun Tanjung Keramat, Shahelmy Yahya (gambar, atas) dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah.
Dia menggantikan Adun Lamag, Bung Moktar Raden yang juga disingkirkan sebagai menteri kerja raya.
Shahelmy dilantik sebagai timbalan ketua menteri III dan diberi portfolio kerja raya.
Selain Bung Moktar, Hajiji turut menggugurkan dua lagi anggota kabinetnya - Yakub Khan (BN-Karambunai) dan Jafry Ariffin (BN-Sukau).
Bagaimanapun, Bung yang juga ketua Umno Sabah menegaskan parti itu tidak mengiktiraf peranan lima Adun Umno tersebut dalam kabinet kerajaan negeri.
Rombakan itu dibuat beberapa hari selepas Umno Sabah menarik balik sokongan pada Hajiji.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagaimanapun berjaya mempertahankan kepimpinannya dengan sokongan lima Adun Umno dan tujuh Adun PH.
Taklimat tertutup presiden Umno
Sementara itu, Bung Moktar juga mendakwa lima Adun Umno itu disogok dengan jawatan menteri, timbalan menteri dan kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan.
Dia justeru menuntut menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat perkara itu.
Sementara itu, Ahmad berkata presiden Umno akan menjelaskan mengenai kerajaan perpaduan pada sesi taklimat petang nanti.
Taklimat secara tertutup itu membabitkan kehadiran lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara.
"Taklimat itu adalah bagi memahamkan dan memaklumkan kepada mereka yang hadir mengenai kerajaan perpaduan dan apa ada dalam kerajaan perpaduan (tindakan Umno menyertainya).
"Itu pembaharuan pertama dilakukan selain program kebiasaan dilakukan iaitu perasmian sayap wanita, pemuda dan puteri yang dijadualkan malam ini," katanya lagi.