mk-logo
Berita
Perlombongan REE: Kedah memeterai MOU dengan syarikat China
Diterbitkan:  Jan 11, 2023 11:30 AM
Dikemaskini: 3:35 AM

Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co Ltd dalam usaha penerokaan maklumat dan kepakaran bagi industri perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri ini.

Majlis menandatangani MOU itu disaksikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. MBI Kedah diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Sobri Osman manakala Jangka Bakat Minerals diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Liana Khalid dan Xiamen Tungsten diwakili Pengurus Besarnya, Liu Wenli.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MBI Kedah, Jangka Bakat Minerals dan Xiamen Tungsten kerana bersetuju untuk bekerjasama menjayakan perlombongan REE di Kedah.

“REE ialah sumber strategik dunia dan berkait dengan geopolitik serantau. Namun, kita sebagai pengeluar hasil REE pada masa depan akan kekal neutral dan membuat keputusan demi manfaat ekonomi terbaik negeri Kedah,” katanya.

Beliau berkata deposit atau simpanan REE secara semula jadi di Kedah berkualiti kerana mengandungi unsur mineral bernilai tinggi dan ia merupakan satu nikmat kurniaan yang sememangnya harus disyukuri oleh semua pihak.

Dalam pada itu, katanya daripada pengamatan beliau, aktiviti pengeluaran REE secara haram di negeri ini berlaku disebabkan kemungkinan belum ada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan bahan itu dikeluarkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim setakat ini.

“REE ini bukan sahaja telah dikeluarkan di beberapa lokasi di negeri ini tetapi juga telah dikeluarkan di beberapa lokasi di negeri lain secara haram.

“Pihak Kementerian Sumber Asli dalam (mesyuarat) Majlis Tanah Negara sebelum ini telah membincangkan (mengenai SOP) beberapa kali, (namun) mereka meminta kita menunggu SOP yang akan dikeluarkan oleh kementerian. Sehingga kini, kita masih belum menerima SOP itu.

“Oleh kerana bahan ini mendapat permintaan yang tinggi, dengan nilai yang baik, orang tak dapat menunggu. Mereka letak nama lain walaupun bahan itu REE,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri akan mengambil inisiatif untuk memastikan pemain industri yang terlibat mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan perlombongan REE supaya hasil bumi yang dikeluarkan tidak terlepas begitu sahaja.

“Bagi memastikan aktiviti ini dibuat berdasarkan undang-undang, jabatan yang ada di Kedah khususnya PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan yang begitu banyak tanah-tanah mereka terlibat, perlu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang,” katanya.

Pada 31 Okt tahun lepas, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri memperoleh semula hasil selepas terpaksa menanggung kerugian akibat aktiviti perlombongan haram REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik setelah dua kompaun dikenakan terhadap seorang lelaki warga China yang didapati melakukan kegiatan itu.

Katanya dua kompaun berjumlah RM630,000 itu melibatkan kompaun maksimum RM500,000 untuk kesalahan melombong REE dan kompaun RM130,000 bagi kesalahan menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) yang dibayar pada 11 Okt tahun lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS