Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun GRS: Tindakan Umno, Warisan ‘memalukan’

Seorang penyokong kerajaan menyifatkan tindakan sekumpulan ahli parlimen Umno dan Warisan yang tidak muncul pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah semalam sebagai "memalukan".

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telupid Jonnybone J Kurum memberitahu Malaysiakini bahawa ia sesuatu yang tidak boleh diterima apabila pembangkang memboikot sidang khas yang bertujuan untuk mengembalikan hak negeri itu.

"Adun yang tidak hadir semalam memalukan. Ia adalah sidang khas yang bertujuan untuk mengembalikan hak Sabah.

“Bagi saya, mereka mempersendakan DUN serta perjuangan untuk mendapatkan semula hak Sabah,” kata ahli parlimen Parti Bersatu Sabah (PBS) itu.

Semalam, hanya enam daripada 18 Adun Umno yang hadir pada persidangan itu, manakala tiada seorang pun daripada 19 Adun Warisan yang hadir.

Dewan Undangan Negeri bersidang untuk membahaskan dua rang undang-undang penting - Rang Undang-undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023.

Rang undang-undang itu direka untuk mengambil alih kuasa kawal selia sektor tenaga negeri daripada kerajaan persekutuan.

Kelulusan RUU itu menjadi tumpuan utama, susulan keputusan BN Sabah pada Jumaat lalu untuk menarik balik sokongan kepada Hajiji Noor untuk meneruskan jawatan ketua menteri.

Semalam, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata mereka menyokong cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah.

Sebelum itu, Bung Moktar dalam satu kenyataan berkata sebahagian besar Adun BN Sabah tidak hadir pada sidang khas DUN semalam kerana mereka akan menghadiri menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.

Bagi Shafie pula, alasannya adalah bahawa  Adun Warisan sibuk untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang akan menentukan kepimpinan kerajaan perpaduan baharu nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS