Paling Popular
Terkini

Penularan pantas beberapa subvarian baharu  Covid-19 yang dikesan di beberapa buah negara sudah tentu membangkitkan kebimbangan masyarakat negara ini terutama dengan jangkaan kehadiran pelancong dari China dalam jumlah besar ke Malaysia berikutan pembukaan sempadan negara itu sejak 8 Januari lepas.

Negara tanah besar China itu berhadapan gelombang besar Covid-19 akibat varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di negara berkenaan pada masa ini.

Laporan terkini menyebut di Henan (wilayah ketiga paling padat di China) sahaja, hampir 90 peratus penduduknya iaitu sekitar 88.5 juta daripada jumlah penduduk seramai 99.4 juta, dijangkiti Covid-19.

Di samping itu, Amerika Syarikat dan Eropah kini bergelut dengan lonjakan kes Covid-19 akibat penularan subvarian Omicron, XBB.1.5 yang dikenali dengan nama ‘Kraken’ yang berpotensi mencetuskan gelombang besar Covid-19.

Susulan kepada situasi berkenaan, banyak pihak mendesak kerajaan Malaysia mengambil langkah  wajar yang lebih serius bagi memastikan semua pelancong  patuh dengan Standard Prosedur Operasi (SOP) dan arahan ditetapkan bagi memastikan virus pembawa penyakit berjangkit Covid-19 itu dapat dikekang penularannya.

Tutup pintu sempadan

Mengulas mengenai isu ini, pakar kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan penutupan semula pintu sempadan negara kerana ia adalah langkah terbaik yang boleh dilaksanakan ketika ini bagi membendung subvarian baharu yang sedang menular pantas.

Beliau berpandangan, cadangan kerajaan memperketatkan saringan Covid-19  di pintu masuk sempadan negara tidak dijamin selamat dan negara perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku sehingga memaksa kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk rekod, kes pertama Covid-19  (sebelum ini dikenali sebagai 2019-nCOV) dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, melibatkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari.

“Melakukan saringan Covid-19  ke atas pelancong luar adalah langkah kawalan sedia ada dan ia telah pun dibuat sebelum ini dan  saya berpandangan ia perlu ada penambahbaikan.

“Menteri Kesihatan juga perlu uar-uarkan kepada orang awam apa  solusi terbaik yang akan dilakukan Kementerian Kesihatan  bagi mengelakkan pelancong yang positif virus Covid-19 lolos masuk ke negara ini,’’ katanya kepada Bernama.

Menurut Dr Hanafiah lagi, kerajaan seharusnya merangka mekanisme terbaik menangani penularan Covid-19 bagi menjamin keselamatan  rakyat selain memastikan tidak berlakunya lonjakan kes sehingga mengakibatkan sekatan pergerakan sepertimana sebelum ini.

“Setakat ini, saya tidak nampak sebarang inisiatif terbaharu yang akan dibuat Kerajaan Perpaduan  sekiranya kes naik mendadak susulan kewujudan pelbagai varian baharu Covid-19  di beberapa negara luar termasuk China.

“Pastinya rakyat tertunggu-tunggu apakah jaminan ditawarkan kerajaan sekiranya jumlah kes naik mendadak  berpunca daripada kes import memandangkan mereka bimbang sekiranya terpaksa berdepan lagi dengan PKP, ” katanya.

Pada Rabu lepas (4 Januari),  jemaah menteri memutuskan untuk tidak menguatkuasakan sekatan pelancong asing dari negara tertentu di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara dan susulan itu kerajaan akan memperketatkan kawalan sedia ada  di pusat Imigresen.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Isnin (9 Januari) berkata, SOP kemasukan pelancong asing di semua pintu masuk antarabangsa adalah kekal dan sebarang  keputusan mengenai SOP baharu hanya akan dibuat berdasarkan data terkini Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya tidak menjangkakan berlaku lonjakan kes baharu Covid-19  semasa musim perayaan ini.

Menurut beliau, berdasarkan pengalaman setelah sempadan negara dibuka semula pada 1 April 2022 iaitu pelbagai perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha dan Krismas telah dilalui serta rakyat Malaysia kembali dari tanah suci, malah ketika Pilihan Raya Umum ke-15, tidak berlaku lonjakan kes.

"Pengalaman kita pada 1 April lepas, pada permulaan kita tidak yakin kes dapat dikawal dengan baik tapi ternyata tempoh masa lebih lapan bulan telah menunjukkan kes dapat dikawal dengan baik walaupun dah buka semua sempadan, semua sektor dan membenarkan semua perayaan dan perhimpunan," katanya dalam Sesi Libat Urus Menteri Kesihatan Bersama Media di Kuala Lumpur semalam (10 Januari).

Beliau menambah, kes baharu Covid-19  dalam negara menunjukkan trend penurunan iaitu kurang 500 kes baharu dicatatkan setiap hari dalam tempoh dua minggu lepas, berbanding antara 3,000 ke 4,000 kes beberapa bulan sebelum ini.

Beliau berkata vaksin yang digunakan juga dilihat masih mampu memberi perlindungan daripada jangkitanCovid-19.

Rujuk pengalaman terdahulu

Bagi pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof, beliau berpandangan,  walaupun tiada langkah drastik diambil buat masa ini berikutan jangkitan kes masih lagi terkawal, namun Kerajaan Perpaduan masih melihat virus Covid-19  sebagai ancaman kesihatan.

Pengalaman kerajaan terdahulu menanganiCovid-19 pastinya  akan digunakan sebaik mungkin  kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memutuskan tindakan sesuai membendung wabak berkenaan.  

“Malaysia setakat ini menunjukkan trend jangkitan yang masih rendah  sekitar 300 ke 500 kes harian berbanding tahun lepas (2022). Kes harian baharu Covid-19 negara pernah merekodkan kes harian melebihi 33,000.

“Kritikaliti kerajaan waktu ini tidak sama ketika kes harian mencecah puluhan ribu kes. Sekiranya ada pihak melihat kerajaan baharu tidak komited atau tidak serius menangani Covid-19 adalah tidak  tepat kerana langkah agresif  akan diambil kerajaan berdasarkan indikator tertentu yang digunakapakai sebelum ini apabila kes menunjukkan semakin serius,’’ katanya.

Namun begitu katanya, memutuskan pelaksanaan PKP bukan satu jalan penyelesaian muktamad, sebaliknya langkah pencegahan awal adalah solusi tepat bagi mengekang jangkitan virus berkenaan.

Menurut Muhammad Izmer, langkah pencegahan itu termasuk kembali mengamalkan SOP seperti pemakaian pelitup muka, basuh tangan secara kerap serta pengambilan vaksin dan dos penggalak Covid-19.

‘’Kerajaan juga perlu kerap memberikan maklumat berhubung situasi terkini Covid-19 selain sentiasa memberikan peringatan kepada rakyat untuk menjaga kesihatan kendiri.

‘’Vaksinasi juga penting meskipun masih ada kes jangkitan tetapi  kematian akibat virus itu bukan lagi isu utama kerana  ramai yang dijangkiti berada pada  tahap satu dan dua sahaja kerana kebanyakannya lengkap divaksin,’’ katanya.

Kajian vaksin

Menyentuh mengenai keberkesanan vaksin, Dr Hanafiah pula menyarankan agar kerajaan melakukan kajian lebih terperinci mengenainya bagi mengembalikan keyakinan rakyat mengambil vaksin sebagai perlindungan daripada jangkitan virus tersebut.

Ini berikutan peratusan individu yang mengambil dos penggalak berada pada tahap kurang memberansangkan walaupun  orang ramai boleh hadir tanpa janji temu di beberapa klinik swasta.

Setakat ini, hanya 49.8 peratus rakyat negara ini mendapatkan vaksin dos penggalak pertama dan 1.9 peratus sahaja sudah mengambil dos kedua.

“Seperti kita maklum vaksin ini sebagai perlindungan, meskipun  mereka yang divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19  tetapi ia mengurangkan kesan jangka panjang jangkitan itu. 

“ Bagi saya kajian dalaman perlu dibuat untuk melihat tahap keberkesanan vaksin sekali gus mengambil kira kebimbangan rakyat  mengenai kesan sampingannya selain pihak berkenaan perlu turun padang dan ambil maklum balas kenapa mereka yang mengambil vaksin sebelum ini tidak mendapatkan dos penggalak sebagai perlindungan seterusnya,’’ katanya sambil menambah, kebanyakan golongan dewasa tidak mahu mengambil dos penggalak kerana dilihat tiada keperluan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS