Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video kumpulan lelaki ceroboh Menara Merdeka 118 kejadian tahun lepas - PNBMV

Permodalan Nasional Berhad Merdeka Ventures Sdn Berhad (PNBMV) berkata klip video memaparkan aksi sekumpulan lelaki menceroboh Menara Merdeka 118 adalah kejadian yang berlaku pada 1 Mei tahun lalu.

PNBMV dalam kenyataan hari ini memaklumkan penceroboh berkenaan telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari sama dan didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Kami ingin menekankan bahawa aksi itu menyalahi undang-undang dan berbahaya, sekali gus merisikokan keselamatan penceroboh dan pekerja di tapak pembangunan.

“Oleh yang demikian, kami menyelar segala perbuatan haram yang dilakukan di tapak pembangunan ini untuk meraih keuntungan komersial dan populariti secara haram,” menurut kenyataan itu.

PNBMV berkata pihak mereka akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan Menara Merdeka 118 dan menegaskan supaya mana-mana pihak tidak berani mengulangi hal yang sama kerana akan mengundang banyak risiko.

“Kami ingin menekankan sekali lagi betapa bahayanya aksi yang menyalahi undang-undang ini, membahayakan keselamatan pekerja pembinaan dan diri penceroboh sendiri.

“Agak membimbangkan aktiviti yang menyalahi undang-undang dijalankan di tanah air kita.

“Untuk dipopularkan dan digunakan untuk keuntungan kewangan yang haram,” katanya.

Klip video kejadian berkenaan tular baru-baru ini.

Klip video itu dipercayai dimuat naik pada 30 Disember 2022 oleh pencipta kandungan YouTube, Driftershoots.

Video berdurasi 7 minit 18 saat itu memaparkan kumpulan tersebut, yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga orang - muka dua daripada mereka dikaburkan menyelinap masuk ke tapak bangunan dengan memakai jaket seperti pekerja binaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS