Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun tak setuju MP Permatang Pauh jadi 'polis moral'
Diterbitkan:  Jan 10, 2023 2:29 PM
Dikemaskini: 6:30 AM

Seorang Adun Pulau Pinang membidas tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh dari PAS yang dianggap mengambil peranan sebagai 'polis moral' di kawasan berkenaan baru-baru ini.

Daniel Gooi berkata langkah diambil Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dalam isu promosi jualan minuman keras untuk orang bukan Islam itu juga mengundang tanda tanya lain.

Kata Adun Pengkalan Kota berkenaan, aktiviti promosi minuman keras di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya itu dibuat sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang akan menjelang tidak lama lagi.

Katanya memang sangat nyata dan jelas promosi tersebut ditujukan kepada golongan bukan muslim serta dianjurkan dengan mematuhi segala undang-undang yang sedia ada.

"Tindakan (Muhammad Fawwaz) untuk berperanan sebagai polis moral itu bukan sahaja terpesong daripada peranan dia sebagai wakil rakyat, malah akan mengugat keharmonian masyarakat majmuk yang ada di Pulau Pinang ini.

“Sekiranya ahli parlimen Permatang Pauh mengambil tindakan sebagai penguat kuasa terhadap aktiviti promosi ini, apakah dia akan mengambil tindakan penguatkuasaan juga terhadap aktiviti kebudayaan dan keagamaan yang diamalkan sekian lama oleh masyarakat berbilang kaum di Pulau Pinang ini?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gooi berkata demikian sebagai merujuk kepada klip video yang dimuat naik Muhammad Fawwaz berhubung tindakannya berurusan secara langsung dengan pengurusan sebuah pusat membeli belah di Seberang Jaya yang mengadakan aktiviti promosi minuman bir.

Untuk rekod Seberang Jaya merupakan salah satu kawasan dewan undangan negeri yang berada di bawah Permatang Pauh.

Gooi turut menggesa pusat beli-belah terbabit - Sunway Carnival Mall - supaya tidak tunduk kepada tekanan daripada ahli politik "berfikiran sempit" terbabit kerana promosi itu tidak melanggar peraturan.

Pada masa sama dengan nada menyindir, Adun DAP itu mengucapkan terima kasih kepada Muhammad Fawwaz kerana secara tidak langsung dia turut "membantu" mempromosikan promosi terbabit.

"Terima kasih kepada YB Muhammad Fawwaz atas video yang dimuat naik dan memaklumkan kepada semua bahawa terdapat aktiviti promosi minuman bir di pusat membeli belah tersebut," katanya.

Terdahulu Muhammad Fawwaz mendakwa dia menerima rungutan dan aduan daripada masyarakat Muslim berkaitan penjualan arak di Sunway Carnival Mall.

Katanya, pertemuan dengan pihak pengurusan pusat beli-belah itu dibuat bagi menyampaikan rasa tidak selesa pengunjung dalam kalangan orang Islam.

"Hasil pertemuan sebentar tadi kami bertegas membantah sebarang penjualan atau promosi arak secara besar-besaran seperti di ruang legar utama Sunway Carnival Mall.

"Pihak penganjur menyambut baik bantahan tersebut dan akan bertindak untuk menganjurkanya dengan lebih tertutup dalam tempoh seminggu ini.

"Demi menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat sekitar, diharap hal sebegini tidak berulang lagi. Impikasi arak yang memabukkan manusia akan menghilangkan rasa waras dan pertimbangan diri," katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS