Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mat Sabu tak perlu jelajah ke India, Ayer Hitam ada banyak telur - Wee
Diterbitkan:  Jan 9, 2023 9:32 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong mengkritik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu kerana didakwa mengutamakan telur ayam import berbanding keluaran tempatan.

Ini susulan tinjauan Mohamad ke ladang pengeluaran telur di Tamil Nadu, India untuk melihat sendiri proses pengeluaran telur yang diimport ke Malaysia.

Presiden MCA itu meminta Mohamad mengutamakan penternak tempatan dan mencadangkan agar menteri itu datang ke Ayer Hitam bagi melawat kawasan pengeluaran telur di situ.

"Abang Mat, jauh jelajah?! Perlu ke India tengok telur ke?

"Saya cadangkan datang ke kawasan saya parlimen Ayer Hitam. Yong Peng ada lebih 100 ladang ayam dan di sinilah tempat paling popular menghasilkan telur untuk pasaran tempatan dan juga berjuta biji telur dieksport ke Singapura setiap hari,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Wee mendakwa penternak tempatan kerugian berikutan kos pengeluaran lebih tinggi berbanding harga telur yang dijual iaitu 41 sen sebiji akibat kawalan harga.

Dia sebaliknya mencadangkan harga telur tempatan dinaikkan sama seperti telur yang diimport dari India, yang berharga 51 sen sebiji.

"Abang Mat, apa kata harga kawalan diubah? Saya rasa kalau harga kawalan ditetapkan RM0.50 sebiji (sama macam harga telur import dari India), mungkin penternak tempatan sanggup bela kerana mereka tak akan rugi.

"Kalau kerajaan mampu dan bersungguh nak bantu golongan B40, boleh wujudkan “elaun telur secara top up” kepada golongan B40 untuk menanggung bebanan kewangan iaitu selisih harga RM0.09 (RM0.50-RM0.41) sebiji," katanya.

Wee menambah, tiada keperluan untuk mengimport telur dari India sekiranya bekalan telur tempatan mencukupi.

Pada Disember tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan langkah mengimport telur dari India sebagai langkah jangka pendek untuk memastikan bekalan mencukupi di negara ini pada harga yang kompetitif.

Ini berikutan pengguna menghadapi kesukaran mendapatkan telur di beberapa negeri.

Berita Harian melaporkan telur dari India itu akan diimport melalui jalan laut bagi menurunkan harga dan bersaing dengan harga telur tempatan.

Dia juga mengatakan kontena penghawa dingin disediakan bagi memastikan kualiti telur dalam keadaan baik.

Bagaimanapun Wee mempersoalkan kesegaran telur import berkenaan memandangkan pengangkutan laut dari India akan mengambil masa tiga hingga empat minggu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS