Lima belas buah rumah di kawasan bukit Taman Bukit Permai 2 di Ampang diisytiharkan tidak boleh didiami, menurut Exco Kerajaan Negeri Selangor (Exco) bagi infrastruktur dan kemudahan awam, pertanian, pemodenan dan industri asas tani Izham Hashim.
Izham, yang melawat kawasan itu hari ini memetik laporan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menyatakan rumah di kawasan itu itu tidak lagi selamat dari segi struktur dan penduduknya perlu berpindah.
“Berdasarkan laporan itu, kawasan berkenaan (di bahagian atas cerun) tidak selamat untuk didiami berikutan kerosakan struktur sebelum ini.
“Kawasan ini ada 15 buah rumah. Berdasarkan apa yang saya lihat sebelum ini, terdapat keretakan besar di tanah yang menyebabkan ia tidak selamat,” katanya.
Tambahnya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan mengeluarkan notis rasmi kepada penduduk terlibat, walaupun tiada tempoh masa diberikan untuk berpindah.
Ditanya sama ada penduduk 15 rumah itu akan dipindahkan, Izham berkata perbincangan lanjut perlu dilakukan, sambil menambah mesyuarat exco Rabu ini akan membincangkan pilihan yang boleh dibentangkan kepada penduduk.
Bagaimanapun, Izham menegaskan cerun di Taman Bukit Permai 2 kini berada dalam keadaan stabil, selepas beberapa kejadian tanah runtuh dan pergerakan tanah berlaku di kawasan itu sejak setahun lalu, dengan kejadian terakhir pada Disember 2022.
Adun Pandah Indah itu berkata, terdapat enam kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah di cerun itu sejak kejadian tanah runtuh besar yang berlaku tahun lepas.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 10 Mac 2022 itu meragut empat nyawa dan seorang cedera, selain menjejaskan 15 rumah dan 10 kenderaan.
Menurut notis di tapak itu, kerja-kerja pembaikan di cerun itu telah bermula sejak 15 Ogos tahun lalu. Izham berkata, kerja-kerja itu dijangka tamat pada Mac.