Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PANDUANKINI | Bagaimana jajaran politik Sabah ketika ini?
Diterbitkan:  Jan 9, 2023 6:10 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

PANDUANKINI | Kesahihan ketua menteri Sabah telah dicabar sekali lagi selepas parti politik beralih sokongan.

Buat masa ini, tiada sesiapa selain penyandang ketua menteri Hajiji Noor yang mendakwa mempunyai majoriti.

Bagaimanapun, situasi politik di negeri itu dianggap cukup serius untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi terbang ke Kota Kinabalu malam ini dengan harapan dapat campur tangan.

Panduankini edisi ini cuba memahami landskap politik Sabah yang kompleks dengan meneliti bilangan yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dan isu-isu yang timbul daripada cabaran terkini.

Siapa yang mengetuai kerajaan Sabah sekarang?

Setakat malam tadi, pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji nampaknya masih mendapat sokongan majoriti (44 daripada 79 Adun) di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Tiada Adun lain yang mendakwa mendapat sokongan majoriti.

Mengapakah kesahihan Hajiji sebagai ketua menteri dicabar?

Penentang Hajiji mendakwa dia tidak lagi mempunyai keabsahan sebagai ketua menteri menurut Perkara 6(7) Perlembagaan Sabah.

Undang-undang ini menetapkan bahawa selain mendapat kepercayaan majoriti di DUN, ketua menteri juga mesti daripada kalangan ketua parti politik yang "memenangi majoriti kerusi yang dipilih".

Semasa pilihan raya September 2020, Hajiji adalah ketua Bersatu Sabah (parti), yang merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional (gabungan).

Sebagai sebuah gabungan, PN memenangi 17 kerusi. Dengan bantuan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan BN, Hajiji mendapat sokongan 38 Adun - lebih satu daripada 37 yang diperlukan untuk majoriti mudah.

Menjelang 9 Dis 2022, Hajiji dan semua Adun Bersatu keluar parti dan mengisytiharkan mereka sebagai ahli GRS. Walaupun merupakan sebuah gabungan, GRS didaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sebagai parti politik.

Pencabar Hajiji menyifatkan ketua menteri itu bukan lagi ketua "parti politik" yang "memenangi majoriti kerusi yang dipilih", justeru tidak lagi layak menjadi ketua menteri di bawah Perkara 6(7).

Hajiji merupakan pengerusi GRS sejak tahun lalu.

Pengkritiknya, bagaimanapun, tidak melayakkan Hajiji menjadi ketua menteri kerana GRS tidak wujud semasa pilihan raya September 2020 dan dengan itu tidak memenuhi kriteria di bawah Perkara 6(7).

Siapa yang menarik balik sokongan terhadap Hajiji?

Tiga belas daripada 18 Adun BN-Umno menarik balik sokongan kepada Hajiji. Lima Adun Umno bagaimanapun kekal menyokong Hajiji.

Tiga lagi Adun Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) turut menarik balik sokongan terhadap Hajiji.

Bagaimana Hajiji masih mempunyai majoriti?

Dalam langkah mengejut, kesemua tujuh Adun Pakatan Harapan (PH) berikrar menyokong Hajiji, dengan menyatakan bahawa ia untuk memastikan kestabilan politik, sekali gus menamatkan status mereka sebagai Adun pembangkang.

GRS yang dipengerusikan Hajiji sudah pun menyatakan sokongan terhadap Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri di peringkat persekutuan.

Bolehkah BN memaksa lima Adun akur keputusan parti?

Ini tidak pasti. Bagi pilihan raya persekutuan 19 Nov, BN memaksa semua calonnya menandatangani perjanjian yang menyatakan mereka akan mematuhi keputusan presiden parti mereka mengenai pembentukan kerajaan.

Setakat ini tidak ada tanda-tanda BN Sabah mengenakan syarat yang sama.

Bukankah undang-undang antilompat parti sepatutnya menghalang perkara ini?

Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai kepada ahli parlimen. Di peringkat negeri, dewan undangan negeri perlu meluluskan undang-undang serupa terlebih dahulu. Negeri-negeri tertentu telah berbuat demikian, namun Sabah belum meluluskan peruntukan undang-undang sedemikian.

Dalam situasi politik Sabah, walaupun undang-undang sedemikian wujud untuk negeri itu, keputusan BN untuk menarik balik sokongan kepada Hajiji tidak akan melanggar undang-undang berkenaan.

Perkara 49A hanya menetapkan bahawa ahli parlimen yang bertukar parti atau bebas yang menyertai parti akan disifatkan telah mengosongkan kerusi mereka.

Adakah majoriti Hajiji telah diuji?

Tidak. Tidak seperti ketika Musa Aman cuba menggulingkan Mohd Shafie Apdal sebagai ketua menteri pada 2020, pencabar Hajiji tidak berkumpul untuk membuktikan jumlah sokongan mereka.

Tambahan pula, Adun belum dipanggil oleh Yang di-Pertua Negeru Juhar Mahiruddin untuk menguji sokongan mereka.

Bagaimanapun, Hajiji akan berpeluang membuktikan majoritinya esok semasa sidang khas DUN.

Persidangan ini diadakan pada 21 Dis tahun lepas untuk meluluskan undang-undang yang akan memberikan kuasa kawal selia negeri ke atas bekalan gas darat.

Parti manakah memenangi kerusi terbanyak semasa pilihan raya Sabah 2020?

Berdasarkan kertas undi yang digunakan semasa pilihan raya, Warisan memenangi kerusi terbanyak (29), walaupun kiraan sebenar juga termasuk ahli DAP (6).

PN di tempat kedua (17 kerusi) dan BN ketiga (14).

Setakat malam tadi, parti yang mendapat kerusi terbanyak ialah Warisan (19), diikuti Umno (18) dan GRS (15).

Mengapakah sesetengah parti mempunyai lebih atau kurang kerusi sekarang berbanding tahun 2020?

Sebagai ketua menteri, Hajiji melantik enam Adun, menjadikan jumlah keseluruhan Adun seramai 79 orang.

Perlembagaan Sabah membenarkan sehingga enam pelantikan sedemikian.

Warisan dan DAP juga menyaksikan beberapa wakil rakyat mereka berpaling tadah sejak 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS